KUALA LUMPUR – Penganjuran sulung Step Vibes 1.0 membuktikan rakyat Malaysia semakin mengutamakan gaya hidup sihat apabila acara berkonsepkan zumba itu berjaya menghimpunkan kira-kira 400 seluruh negara hari ini.
Penganjurnya, Azuein Alonto berkata, acara yang berkonsepkan ‘Fitness in the sky’ dengan tema ‘Glow in the dark’ mendapat sambutan jauh melepasi sasaran awal iaitu sekitar 250 peserta.
“Apabila hari acara berlangsung, jumlah peserta meningkat kepada kira-kira 400 orang. Kami memang tidak sangka,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Menurutnya, kejayaan itu turut didorong oleh kekuatan komuniti zumba yang sanggup merentas negeri untuk menyertai acara berkenaan, termasuk membawa bersama kumpulan pengikut jurulatih masing-masing.
Seramai 15 jurulatih zumba atau dikenali sebagai ‘Zin’ memeriahkan acara itu dengan pelbagai genre muzik termasuk hip-hop, selain kehadiran seorang jurulatih jemputan dari Indonesia, Zin Flo.
“Ada jurulatih dari Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan beberapa negeri lain. Mereka datang bersama pengikut masing-masing. Semangat komuniti ini yang membuatkan saya benar-benar kagum,” ujarnya.

Azuein berkata, peserta yang hadir terdiri daripada pelbagai peringkat umur antara 12 tahun hingga 68 tahun.
“Ramai peserta berusia lebih 50 tahun masih aktif dan bertenaga. Saya juga terkejut melihat semakin ramai golongan muda termasuk Gen Z kini menjadikan kecergasan sebagai sebahagian daripada gaya hidup mereka,” katanya.
Mengulas perancangan seterusnya, beliau berkata, Step Vibes 2.0 dijangka dianjurkan sebelum penghujung tahun ini dengan skala lebih besar, termasuk memperkenalkan acara ‘fun run’ sebelum diteruskan dengan sesi zumba.
“Kita sasar tempat yang boleh memuatkan 2,000 orang. Kita nak jadikan program kecergasan ini sebagai acara menarik untuk semua peringkat usia dalam memastikan rakyat Malaysia sentiasa mengamalkan gaya hidup sihat,” katanya.
Program Step Vibes 1.0 mendapat tajaan utama daripada Fucoaxis, manakala KOSMO! sebagai rakan media acara tersebut. – KOSMO! ONLINE












