KUALA LUMPUR – Pengarah dan penerbit tersohor, Datuk Yusof Haslam berlapang dada sekiranya tiada seorang pun anaknya berminat menyambung legasi penerbitan drama yang dibina sejak lebih empat dekad lalu.
Yusof, 73, berkata, setakat ini dia belum melihat kecenderungan anak-anaknya untuk meneruskan cabang perniagaan tersebut, sebaliknya dua anak lelakinya, Syafiq Yusof dan Syamsul Yusof, lebih cenderung mengarahkan filem.
Menurutnya, isterinya, Datin Patimah Ismail juga menyedari kemungkinan legasi penerbitan drama yang diusahakannya itu tidak akan diteruskan oleh generasi seterusnya.
“Saya pasrah jika tiada yang mahu meneruskannya. Isteri pun ada menyatakan perkara sama.
“Dia melihat sendiri susah payah saya bekerja siang malam dan menguruskan syarikat, tetapi tidak nampak anak-anak akan meneruskan legasi itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Forum Tribute Penghargaan Tokoh Veteran Negara sempena Festival Filem Malaysia Ke-35 bersama seniwati Noor Kumalasari di sini, baru-baru ini.
Mengimbas perjalanan kerjayanya, Yusof berkata, kejayaan menghasilkan filem selama ini banyak didorong hasil pendapatan daripada penerbitan drama televisyen yang dimulakannya sekitar 1985.
Katanya, bidang penerbitan drama membuka ruang dan peluang lebih besar sehingga membolehkannya menerbitkan filem, sekali gus menyediakan kehidupan selesa buat keluarga serta memberikan pekerjaan kepada puluhan kakitangan.
“Saya sudah berusaha sedaya upaya. Disebabkan drama, timbul banyak peluang untuk menerbitkan filem sehingga mampu memberikan keluarga kehidupan selesa dan menanggung puluhan pekerja.
“Jadi, sekiranya tiada yang mahu meneruskan legasi penerbitan drama, tidak mengapa. Saya pasrah,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Yusof mengakui tidak menyangka Skop Production masih menerima permintaan daripada stesen televisyen yang mahu melihat drama bersiri popular, Gerak Khas kembali diterbitkan.
Mengulas kejayaan karya terbitan syarikatnya menembusi hampir semua stesen televisyen, Yusof berkata, dia sudah lali dengan dakwaan kononnya mempunyai kabel sehingga drama terbitannya kerap mendapat tempat di kaca televisyen.
“Ini bukan kali pertama saya dikatakan menggunakan kabel. Sejak dahulu lagi perkara itu diperkatakan.
“Pernah juga seorang menteri datang mengadu penat melayan kerenah individu yang membuat aduan kerana drama saya terlalu kerap ditayangkan.
“Saya sendiri pernah terfikir untuk tidak meneruskannya, tetapi rating Gerak Khas sangat bagus sehingga menjadi program utama. Sebab itu RTM ketika itu tidak boleh menghentikan drama berkenaan,” jelasnya.
Menyentuh perancangan selepas ini, Yusof berkata, dia masih terbuka untuk meneruskan penerbitan drama televisyen sekiranya menerima tawaran, meskipun pulangannya tidak setanding dengan penerbitan filem.
Baginya, keputusan itu bukan semata-mata soal keuntungan, sebaliknya turut mengambil kira kebajikan kru produksi dan pekerja syarikat yang bergantung pada bidang berkenaan sebagai sumber pendapatan.
“Selagi ada rezeki untuk menghasilkan drama, saya akan teruskan. Sekurang-kurangnya kru produksi dan pekerja syarikat saya ada pekerjaan yang boleh mereka lakukan,” katanya.
Yusof sebelum ini cukup sinonim dengan penerbitan drama berunsur kepolisan, Gerak Khas, yang mencatat sejarah tersendiri dengan penghasilan kira-kira 2,000 episod. – KOSMO! ONLINE
















