LISBON – Bernardo Silva dipilih sebagai kapten baharu Portugal bagi menggantikan Cristiano Ronaldo yang membuat keputusan untuk bersara bersama skuad kebangsaan selepas 23 tahun menyarung jersi Selecao.
Pemain tengah Real Madrid berusia 32 tahun itu bakal memikul tanggungjawab besar untuk meneruskan legasi kepimpinan Ronaldo, yang meninggalkan pasukan kebangsaan dengan rekod luar biasa sepanjang karier antarabangsanya.
Pemilihan Silva dibuat berdasarkan jumlah penampilan antarabangsa, selaras dengan prinsip yang ditetapkan pengendali Portugal, Jorge Jesus, bagi menentukan pemain yang layak menyarung lilitan kapten.
Jesus menjelaskan bahawa pemain yang mempunyai jumlah penampilan tertinggi selepas Ronaldo akan mengambil alih tanggungjawab berkenaan.
“Dalam pasukan kebangsaan, kapten dipilih berdasarkan jumlah penampilan antarabangsa yang telah dilakukan setiap pemain.
“Ketika ini terdapat lima pemain di kedudukan teratas senarai tersebut dan menariknya, kesemua mereka pernah bermain di bawah kendalian saya bersama kelab yang pernah saya uruskan.
“Prinsip itu akan kekal. Pemain yang mempunyai penampilan antarabangsa terbanyak selepas Ronaldo ialah Silva, diikuti Ruben Dias, Joao Cancelo, Ruben Neves dan Bruno Fernandes. Mereka ialah lima pemain tersebut,” katanya.
Pelantikan tersebut menyaksikan Fernandes yang juga kapten Manchester United, terpaksa menerima hakikat bahawa tidak menjadi pilihan utama untuk menyarung lilitan kapten bersama skuad kebangsaan. – AGENSI
















