PARIS – Pemain tenis No.3 dunia, Carlos Alcaraz mengakui agak gementar sebelum mencatat kemenangan ke atas Taylor Fritz bagi melangkah ke separuh akhir pada kejohanan Paris Masters awal pagi tadi.
Pada aksi suku akhir yang berlangsung di Plenitude Arena, pemain Sepanyol itu dipaksa bekerja keras sebelum mencatat kemenangan 6-7, 7-5, 6-3 bagi menempah separuh akhir pertamanya di Paris Masters.
Alcaraz berkata, dia seolah-olah bingung di awal perlawanan kerana bermain dalam keadaan gemuruh sebelum memberikan kata-kata semangat kepada diri sendiri dan kembali menunjukkan aksi sebenar.
“Ketika awal perlawanan, saya tidak tahu apa yang berlaku kerana bermain dalam keadaan cukup gementar. Selepas itu, baru saya sedar yang saya hanya perlu menikmati permainan dan menganggap ia satu perlawanan biasa.
“Apa yang paling penting adalah saya perlu bermain dan menggembirakan penonton. Tidak kira sama ada menang atau kalah, saya perlu memastikan penonton berpuas hati dengan perlawanan itu,” katanya.
Sementara itu, dia turut menganggap perlawanan tersebut sangat istimewa dan menyifatkan ia sebagai pengajaran berguna untuk tidak terlalu memikirkan mengenai kemenangan, sebaliknya menikmati perlawanan.
“Mungkin perlawanan ini merupakan salah satu perlawanan paling istimewa dalam karier saya. Saya cuba menggunakan aura yang diberikan penyokong dan menterjemahkan ia ke dalam permainan,” ujar Alcaraz. – AGENSI
















