ROME – Presiden Persekutuan Tenis Itali (FITP), Angelo Binaghi memasang impian besar untuk menjadikan Itali sebagai tuan rumah kejohanan Grand Slam kelima, sekali gus memecahkan dominasi empat kejohanan utama tenis dunia ketika ini.
Menurut Binaghi, sistem sedia ada terlalu memihak kepada negara tertentu sehingga menyukarkan negara lain untuk menembusi kelompok elit dalam penganjuran kejohanan terbesar dunia.
“Monopoli ini sesuatu yang memalukan dan menjadi penghalang besar kepada perkembangan tenis. Sistem sekarang tidak bersifat meritokrasi kerana ia hanya melindungi pihak tertentu yang tidak semestinya melakukan yang terbaik untuk sukan ini,” katanya.
Ketika ini, empat kejohanan Grand Slam dianjurkan di Australia, Perancis, United Kingdom dan Amerika Syarikat menerusi Terbuka Australia, Terbuka Perancis, Wimbledon serta Terbuka Amerika Syarikat (AS).
Binaghi percaya Itali berada di kedudukan terbaik untuk menganjurkan kejohanan baharu susulan peningkatan mendadak populariti tenis di negara itu sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Kejayaan pemain seperti Jannik Sinner dan Jasmine Paolini dilihat menjadi pemangkin kebangkitan tenis Itali sehingga sukan itu kini semakin mendapat perhatian berbanding bola sepak.
“Tenis sedang melalui ledakan populariti yang mungkin sukar diulangi pada masa depan, lebih-lebih lagi ketika pasukan bola sepak kebangsaan kami melalui tempoh yang mengecewakan. Sebab itu kejayaan tenis sangat penting buat negara,” ujarnya. – AGENSI














