PETALING JAYA – Bermula sebagai komuniti kecil yang berkongsi minat bermain tenis, Proz United dari Ayer Keroh, Melaka kini mula mengorak langkah lebih jauh dengan menyertai kejohanan domestik yang kompetitif.
Langkah itu menyaksikan kelab amatur berkenaan membuka tirai jelajah pertamanya selepas lapan tahun penubuhan dengan menempuh perjalanan hampir 500 kilometer ke Terengganu bagi memburu kejuaraan pada Tenis Terbuka Terengganu 2026.
Kejohanan selama dua hari itu berlangsung di Kompleks Tenis MBKT, Padang Hiliran, Kuala Terengganu bermula 2 Oktober lalu.
Kapten pasukan, Jailani Nordin, 50, berkata faktor jarak dan usia bukan penghalang buatnya bersama enam rakan lain untuk tampil memberikan cabaran pada kejohanan tersebut.
“Faktor usia bukan halangan walaupun hadir berstatus kelab bukan pilihan untuk kejuaraan ini. Namun, kami tetap teruja untuk beraksi di sini bagi jelajah pertama sejak penubuhan.
“Sudah tentu setiap pasukan yang bertanding ingin menaiki podium, begitu juga kami. Namun, sasaran awal adalah sekurang-kurangnya meletakkan pasukan dalam kelompok lima terbaik untuk kejuaraan ini,” katanya.
Menurutnya, Proz United mempertaruhkan tujuh pemain untuk berentap dalam semua kategori yang dipertandingkan, termasuk kategori 50 tahun ke atas.
Katanya, penyertaan dalam kategori berkenaan merupakan antara usaha kelab memberi peluang sama rata kepada setiap pemain dari Melaka untuk beraksi dalam suasana lebih kompetitif.
Tenis Terbuka Terengganu 2026 yang berlangsung selama dua hari itu mempertandingkan tiga kategori berpasukan iaitu Lelaki Terbuka, 40 tahun ke atas dan 50 tahun ke atas, selain menawarkan hadiah wang tunai kepada setiap pemenang. – KOSMO! ONLINE














