fbpx
NOSKOVA

Grand Slam: Noskova lakar kejutan di Wimbledon

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LONDON – Linda Noskova membuktikan mentaliti juara apabila bangkit daripada detik paling sukar dalam kariernya untuk merangkul gelaran Grand Slam pertama selepas menewaskan rakan senegara, Karolina Muchova pada final Wimbledon, awal pagi semalam.

Pemain pilihan kesembilan dari Republik Czech itu hampir dikecewakan apabila mensia-siakan lima mata kejuaraan pada set kedua sehingga tidak mampu menahan air mata, namun berjaya bangkit sebelum melakar kemenangan 6-2, 5-7, 6-3 dalam pertarungan selama dua jam 28 minit di Centre Court.

Kejayaan tersebut menyaksikan Noskova, 21, muncul juara Wimbledon termuda dalam tempoh 15 tahun, selain menghadiahkan gelaran Grand Slam sulung dalam kariernya selepas sebelum ini tidak pernah melepasi peringkat suku akhir mana-mana kejohanan utama.

“Semua perlawanan sepanjang dua minggu ini sangat sukar dari segi fizikal dan mental, terutama perlawanan hari ini (semalam). Bukan mudah untuk mendapatkan mata terakhir. Karo benar-benar memaksa saya bekerja keras.

“Semua air mata sedih, air mata gembira, peluh dan darah, semuanya berbaloi. Saya tidak akan melupakan dua minggu yang luar biasa ini,” katanya selepas menjulang trofi Venus Rosewater Dish.

Sementara itu, Muchova yang tewas buat kali kedua dalam final Grand Slam tetap memberikan penghormatan kepada lawannya yang disifatkan cukup layak bergelar juara selepas mempamerkan kekuatan mental luar biasa.

“Cara dia mengendalikan tekanan hari ini benar-benar luar biasa. Selain itu, dia juga seorang yang sangat baik. Dia memang layak bergelar juara,” katanya.

Kemenangan itu turut meneruskan dominasi pemain Republik Czech di Wimbledon apabila Noskova menjadi pemain ketiga dari negara tersebut menjuarai kejohanan berprestij itu dalam tempoh empat tahun selepas Marketa Vondrousova (2023) dan Barbora Krejcikova (2024). – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN