Pengamal media mula berkumpul di hadapan Istana Hinggap Seremban hari ini. FOTO oleh NUR SHARIEZA ISMAIL/KOSMO!

Istana Hinggap jadi tumpuan, tiga pemimpin UMNO dijangka menghadap Tuanku Muhriz

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEREMBAN – Istana Hinggap di sini menjadi tumpuan petugas media hari ini susulan jangkaan tiga pemimpin tertinggi UMNO menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir pada pukul 3 petang.

Mereka ialah Pengerusi Barisan Nasional (BN) merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Pengerusi BN merangkap Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan serta Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Menurut sumber, pertemuan itu bertujuan mempersembahkan keputusan parti yang dicapai dalam mesyuarat khas di Wisma UMNO Negeri Sembilan pada malam Jumaat lalu.

Tinjauan mendapati petugas media mula berkumpul di perkarangan Istana Hinggap seawal pukul 12 tengah hari bagi membuat liputan perkembangan terbaharu kemelut politik dan pentadbiran negeri ini.

Difahamkan, Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim turut dijadual menghadap Tuanku Muhriz pada pukul 1 petang ini di istana berkenaan. Pertemuan itu dipercayai bagi membincangkan krisis serta kemelut pentadbiran di Negeri Sembilan.

Media pada 21 November lalu melaporkan seramai 24 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mewakili BN dan Perikatan Nasional (PN) mencapai kata sepakat untuk akur dan patuh kepada apa juga arahan pucuk pimpinan serta ketetapan parti masing-masing.

Perkembangan lanjut akan menyusul.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN