MELAKA – Gara-gara rakan sekerja tidak senyum, seorang juruwang wanita didakwa ditengking dan ditendang beberapa kali oleh anak pelanggannya dalam kejadian di sebuah pasar mini di Taman Bertam Perdana di sini.
Kejadian berlaku pada pukul 9.30 malam, Ahad lalu selepas seorang pelanggan wanita menegur rakan sekerja mangsa yang bertugas di kaunter pembayaran kerana didakwa tidak senyum.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Halim Abas berkata, wanita itu kemudian keluar dari premis sebelum suaminya bersama empat anak masuk ke dalam pasar mini berkenaan.
Menurut beliau, lelaki itu didakwa membaling kotak rokok ke arah mangsa sambil menjerit bertanyakan siapa yang membaling rokok ke arah isterinya sebelum menolak mangsa ke arah peti sejuk.
“Seorang wanita dipercayai anak lelaki itu didakwa menengking mangsa sebelum menendang kakinya beberapa kali.
“Situasi itu bagaimanapun ditenteramkan oleh wanita yang didakwa mencetuskan perselisihan awal, sebelum keluarga tersebut keluar dari kedai,” katanya ketika dihubungi.
Keluarga tersebut diipercayai beredar dengan menaiki kenderaan berwarna biru gelap.
Susulan kejadian itu, mangsa yang berusia 17 tahun mendapatkan rawatan di hsopital dan membuat laporan polis kelmarin untuk tindakan lanjut.
Setakat ini, polis sedang mengesan semua individu terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 serta 323 Kanun Keseksaan kerana kesalahan melakukan ugutan jenayah dan mendatangkan kecederaan.
Terdahulu, tular rakaman video berdurasi satu minit 20 saat dikongsikan seorang individu didakwa kakak mangsa yang meminta pihak berkuasa supaya mengambil tindakan terhadap pelaku kes tersebut.














