UNTUK peminat filem-filem Melayu, karakter-karakter antagonis seperti, Castello, Ajib, Shark, Kahar dan Lan Todak ini bukan sahaja dibenci tetapi dari satu sudut lain, digemari dek keunikan yang berbekas di hati ramai.

Lima gengster Melayu paling ikonik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TIDAK semua watak antagonis dilahirkan untuk dibenci. Adakalanya, karakter penjahat lebih mencuri perhatian berbanding hero sehingga dialog, gaya dan penampilannya terus terpahat dalam ingatan penonton biarpun bertahun-tahun selepas sesebuah naskhah ditayangkan.

Daripada ketua kongsi gelap berhati kering, samseng psikopat hinggalah penguasa hierarki asrama, karakter gangster mempunyai daya tarikan tersendiri.

Gala minggu ini menyenaraikan lima karakter gengster paling ikonik dalam perfileman Malaysia, membuktikan adakalanya penjahat lebih meninggalkan sengat berbanding wira hingga menjadi sebutan penonton.

Amir Ahnaf (Kahar)

Daripada gengster jalanan kepada penguasa hierarki sekolah berasrama, Kahar menjadi fenomena baharu dalam budaya popular Malaysia.
Karakter lakonan Amir Ahnaf itu mula mencuri perhatian menerusi siri Astro Originals, Projek: High Council pada 2023.

Kekuatan karakter tersebut mendorong Astro Shaw menghasilkan filem spin-off Kahar: Kapla High Council pada 2024. Naskhah arahan Razaisyam Rashid itu berfungsi sebagai prekuel dan sekuel dengan membongkar perjalanan Kahar terjebak dalam dunia pergaduhan asrama, termasuk perebutan takhta dengan abangnya sendiri, Beja lakonan Aedy Ashraf.

Sharnaaz Ahmad (Lan Todak)

Filem Juvana turut memperkenalkan karakter Lan Todak, penjahat psikopat dengan sisi ganas cukup menggerunkan.

Dilakonkan Sharnaaz Ahmad, Lan Todak merupakan bekas pelatih Sekolah Wira Bakti dengan personaliti panas baran, kejam dan gemar menyeksa mangsa tanpa belas kasihan. Karakter itu menjadi antara antagonis utama dalam filem Juvana pada 2013.

Imej botak, parut pada wajah serta tubuh dipenuhi tatu termasuk imej ikan todak menjadikan Lan Todak kelihatan lebih bengis dan menakutkan.

Lan Todak antara watak terbaik pernah dibawa Sharnaaz dan diingati sehingga kini.

Datuk Rosyam Nor (Castello)

Sebelum Datuk Rosyam Nor dikenali menerusi karakter Tailong dalam KL Gangster 2, pelakon versatil itu terlebih dahulu mencipta reputasi sebagai antagonis menerusi watak Castello.

Membawa watak ketua sindiket gangster dan dadah, Castello digambarkan sebagai individu kejam, ganas serta tidak mempunyai belas kasihan. Dia menjadi musuh utama pasukan Gerak Khas dalam naskhah pecah panggung berkenaan.

Populariti karakter itu turut membuka ruang kepada kemunculan istimewa Rosyam menerusi filem MX3 pada 2003 apabila membawa watak Castella, sebuah parodi kepada karakter berkenaan.

Impak Castello begitu besar sehingga Rosyam menerbitkan filem spin-off menggunakan nama karakter tersebut pada 2006 menerusi syarikat produksinya, Suhan Movies. Filem arahan Bade itu memberikan dimensi lebih mendalam terhadap kehidupan penjenayah berkenaan.

Syamsul Yusof (Shark)

Watak antagonis Shark dalam filem KL Gangster yang dibawakan Syamsul Yusof menjadi antara tunjang utama konflik, sekali gus mencipta fenomena menerusi personaliti panas baran, licik dan kemaruk kuasa.

Penampilan Shark turut menjadi antara elemen paling melekat dalam ingatan. Rambut mohawk atau undercut berwarna perang, tatu memenuhi leher dan lengan serta cermin mata hitam menjadi identiti visualnya.

Ditambah pula dengan intonasi suara kasar dan gaya percakapan penuh ugutan, setiap kemunculannya pasti mengundang ketegangan.

Lebih menarik, beberapa dialognya terus hidup dalam budaya popular sehingga hari ini. Antaranya, ‘Sekarang tak kira lu Abang Long ka, lu ayahanda ka, ini KL gua pegang!’ menjadi gambaran jelas keangkuhan Shark yang tidak gentar berdepan sesiapa pun.

Dialog ‘Lu pijak sama gua sekarang. Lu panggil lu punya anjing-anjing pijak sama gua sekarang, gua mau tengok!’ ketika berhadapan dengan Dragon di kelab malam turut menjadi antara petikan paling diingati.

Soffi Jikan (Ajib)

‘Samseng tak salah, yang salahnya, bodoh. Kasi sengat!’

Ungkapan berkenaan cukup sinonim dengan karakter Ajib dalam filem KL Gangster. Dilakonkan Sofi Jikan, Ajib atau lebih dikenali sebagai

Ajib Kasi Sengat mempunyai personaliti luar biasa sehingga sukar ditandingi karakter gangster lain.

Jika Shark terkenal dengan sifat panas baran dan Malek pula lebih tenang ketika berdepan musuh, Ajib hadir dengan perangai bersahaja, psikopat dan sukar dijangka.

Gelak tawa sinis, intonasi suara tersendiri serta tabiat menggerakkan badan dan menari dalam situasi tegang menjadikan watak itu cukup menghiburkan.

Populariti karakter itu turut membuka peluang kepada Sofi untuk mengarahkan serta membintangi filem spin-off Gangsterock: Kasi Sengat pada 2015. Naskhah tersebut memberikan ruang untuk meneroka sisi lain karakter gangster dengan pendekatan tersendiri.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN