PETALING JAYA – Manusia sebenarnya lebih menakutkan daripada makhluk ghaib apabila dendam dan pengkhianatan mampu mendorong seseorang melakukan perkara di luar batas kemanusiaan.
Itu antara mesej yang cuba disampaikan menerusi filem seram Thailand, Confessions of a Shaman yang mengangkat elemen dendam, pengkhianatan dan ilmu hitam sebagai tunjang penceritaan.
Pengarahnya, Nathanon Cholumpi berkata, karya berdurasi 126 minit itu bukan sekadar memaparkan pertarungan antara manusia dengan makhluk ghaib, sebaliknya menyelami sisi gelap kehidupan manusia yang boleh berubah akibat penderitaan dan dendam.
Menurutnya, elemen seram dalam filem berkenaan dibangunkan menerusi konflik kemanusiaan, khususnya tindakan individu yang sanggup menzalimi orang lain sehingga mendorong mangsa memilih jalan balas dendam.
“Pada saya, hantu dalam filem ini bukan watak jahat kerana kebanyakannya juga pernah menjadi mangsa ketidakadilan. Perkara yang benar-benar menakutkan ialah manusia yang sanggup menyakiti orang lain serta dendam yang mampu mengubah seseorang sepenuhnya,” katanya.
Filem itu mengisahkan Tor lakonan Alek Teeradetch Metavarayuth, seorang sami muda yang kehidupannya musnah selepas berdepan pelbagai tragedi, termasuk kematian ibunya serta menjadi mangsa kekejaman seorang individu berpengaruh.
Gagal mendapatkan pembelaan melalui saluran undang-undang, Tor akhirnya meninggalkan kehidupan sebagai sami sebelum berguru dengan Mor Tian, seorang bomoh berpengaruh yang dilakonkan Shahkrit Yamnarm.
Keputusan itu membawanya menyelami dunia ilmu hitam dan amalan membangkitkan hong phrai, iaitu roh pendamping yang digunakan untuk membalas dendam terhadap individu yang pernah menzaliminya.
Bagaimanapun, semakin jauh Tor mendalami ilmu berkenaan, semakin besar harga yang perlu dibayar apabila rahsia di sebalik amalan tersebut mula terbongkar.
Nathanon berkata, pihak produksi berusaha mengekalkan inti pati cerita asal yang diadaptasi daripada kisah popular menerusi platform The Ghost Radio, selain memperincikan latar belakang serta perkembangan setiap watak supaya penonton memahami rasional di sebalik tindakan mereka.

Beliau turut menyifatkan karya berkenaan sebagai sebuah filem seram psikologi yang menggabungkan elemen supernatural dengan konflik yang dekat dengan realiti kehidupan.
Dari aspek teknikal, Nathanon memberi penekanan terhadap penggunaan kesan praktikal dan kesan khas bagi memastikan penampilan makhluk ghaib kelihatan lebih meyakinkan, manakala teknologi imejan janaan komputer (CG) digunakan mengikut keperluan.
Sementara itu, Alek mengakui watak Tor merupakan antara cabaran terbesar sepanjang kerjaya lakonannya kerana perlu menggambarkan perubahan emosi daripada seorang lelaki biasa kepada individu yang semakin tenggelam dalam dunia ilmu hitam.
Katanya, Tor pada asalnya tidak mengejar kekayaan atau kuasa, sebaliknya hanya mengimpikan kehidupan yang stabil, kasih sayang dan penerimaan masyarakat.
Namun, pengalaman kehilangan insan tersayang, penghinaan serta ketidakadilan yang dilaluinya akhirnya mendorong Tor membuat keputusan yang mengubah seluruh kehidupannya.
Alek turut menyifatkan babak bersama ibunya sebagai antara adegan paling mencabar kerana hubungan tersebut merupakan satu-satunya tempat Tor menaruh harapan.
Selain Alek dan Shahkrit, filem berkenaan turut dibintangi Denise Jelilcha Kapaun sebagai Mali, Am Amarin Nitibhon dan Boom Ranya Siyanont, selain menampilkan kemunculan khas BamBam daripada kumpulan K-pop, GOT7.
Diadaptasi daripada kisah seram popular yang meraih lebih lapan juta tontonan menerusi The Ghost Radio, Confessions of a Shaman bakal menemui penonton di seluruh pawagam Malaysia bermula 5 November ini.
Menerusi naskhah tersebut, penonton bukan sahaja dibawa menyelami sisi gelap ilmu hitam, malah diajak menilai sejauh mana dendam mampu mengubah seseorang sehingga sanggup mengorbankan kemanusiaan sendiri – KOSMO! ONLINE
















