TAHUN ini boleh dianggap sebagai detik paling bermakna buat pelakon Dai Fuad apabila namanya semakin mencuri perhatian selepas membintangi siri popular Astro, Good Boys Go To Heaven (GBGTH).
Kejayaan naskhah itu menjadi titik tolak kepada lonjakan kerjayanya apabila semakin mendapat tempat di hati peminat drama tempatan, sekali gus membuka lebih banyak peluang untuknya mengukuhkan kedudukan dalam industri seni.
Rezeki pemilik nama penuh, Muhammad Fuad Abd. Rahman itu terus melimpah apabila dia diberi kepercayaan membintangi naskhah fenomena, Kudrat 1968: High Council yang bermula sebagai siri sebelum diangkat ke layar perak.
Mengakui tidak pernah menjangkakan sambutan luar biasa terhadap naskhah berkenaan, anak jati Skudai itu berkata, fokus utamanya sejak awal adalah memberikan penghayatan terbaik terhadap watak Pa atau Abdul Ghafar Aziz tanpa meletakkan harapan untuk meraih populariti.
“Sejujurnya saya tak jangka. Dalam kepala saya bila dapat watak Pa dan menjadi keluagra KUDRAT 1968, tak pernah terfikir dalam kepada yang akan jadi besar.
“Setiap projek yang ditawarkan, benda yang paling penting adalah mencari ketetapan karakter itu sendiri.
“Apa keputusan buat karakter untuk saya jayakan sekecil-kecil atau sebesar-besar babak itu sendiri,” katanya kepada HibGlam.
Ujar jejaka berusia 34 tahun itu, dia amat terharu dengan sambutan hangat serta sokongan padu penonton, terutamanya golongan peminat yang aktif mengkaji dan membincangkan jalan cerita naskhah berkenaan.
“Saya tak pernah terfikir akan dapat sambutan sebegini rupa dan saya bersyukur kepada semua yang mengikuti KUDRAT 1968.
“Semua yang buat teori secara berhemah. Semua yang kupas dan bedah pun dibuat dengan bahasa yang bagus dan pandai,” katanya lagi.
Watak antagonis
Ditanya mengenai perbezaan watak antagonis dalam naskhah KUDRAT 1968: High Council dan GBGTH, lulusan Sarjana Undang-undang itu berkongsi pandangannya bahawa setiap karakter antagonis tidak boleh diadili secara pukul rata, sebaliknya perlu ditelusuri dari sudut akar permasalahan yang membentuk perwatakan mereka.
“Untuk setiap watak antagonis, kita perlukan akar permasalahan itu sendiri.
“Kalau dalam filem ini episod empat yang sangat penting. Kalau di Good Boys Go To Heaven episod enam yang penting.
“Jadi saya sangat percaya setiap antagonis itu sendiri lahir daripada satu benda yang hilang dalam diri,” jelasnya.
Tambahnya, dia menyifatkan karakter tersebut mempunyai lapisan kompleks yang berpaksikan kepada keyakinan serta prinsip hidup tersendiri.
“Pa ada lapisan yang lain iaitu kepercayaan yang mana dia percaya 1968, dunia sepatutnya ada atas dan bawah. Kalau tengok balik episod satu, sebelum kehadiran Abbas ke KUDRAT, keadaan aman.
“Tapi Abbas yang menyemai benih itu sendiri walaupun mungkin dia tak tahu. Saya percaya pada masa itu dia terpaksa mengambil alih.
“Bagi saya, Pa percaya dia adalah hero dalam cerita ini dan paling normal dalam KUDRAT.
“Dia percaya itu cara dunia bekerja, setiap watak jahat itu ada justifikasi yang berbeza-beza,” tutupnya.
Selain Dai Fuad, filem berkenaan diterajui Zarif Ghazzi, Mierul Aiman, Akmal Asyraf dan Evertts Gomes itu menyaksikan kemuncak konflik. Perubahan yang tidak dijangka dalam persahabatan dan pendirian watak-watak utama, sekali gus mencabar segala tanggapan penonton. Filem arahan Zulaikha Zakaria itu kini ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia.
















