PETALING JAYA – Gangguan akses yang berlaku pada laman web korporat Bank Rakyat berpunca daripada isu teknikal melibatkan sistem penyedia perkhidmatan pihak ketiga.
Bank Rakyat dalam kenyataan memaklumkan, gangguan berkenaan hanya menjejaskan laman web korporat dan tidak melibatkan sistem serta operasi perbankan institusi kewangan itu.
Katanya, data peribadi, maklumat perbankan dan simpanan pelanggan juga kekal selamat serta tidak terjejas.
“Bank memberi jaminan bahawa sistem serta operasi perbankan terus beroperasi seperti biasa,” katanya di sini hari ini.
Katanya, sementara proses pemulihan akses laman web korporat sedang dilaksanakan, pelanggan masih boleh melakukan urusan perbankan melalui beberapa saluran alternatif termasuk laman web dan aplikasi mudah alih iRakyat, BRICK, QR2E serta i-bizRAKYAT.
“Bank Rakyat turut memohon maaf atas kesulitan yang dialami pelanggan dan memaklumkan perkembangan lanjut akan disampaikan dari semasa ke semasa,” katanya. – KOSMO! ONLINE
















