PETALING JAYA – Penampilan menarik dan sentiasa berbau wangi ketika keluar rumah tidak semestinya menggambarkan kebersihan seseorang apabila keadaan bilik tidur pula didakwa berselerak dengan selimut dan pakaian bertaburan serta katil yang langsung tidak dikemas.
Menerusi perkongsian pengguna Threads, @hzwanihanis, dia meluahkan rasa tidak puas hati terhadap sikap pengotor rakan serumahnya yang didakwa bukan sahaja membiarkan bilik tidur berselerak, malah meninggalkan bekas makanan tidak dibasuh sehingga berulat.
Keadaan itu dikatakan berbeza sama sekali dengan penampilan rakan serumahnya yang sentiasa kelihatan cantik, bersolek dan berbau wangi setiap kali keluar rumah.
Perkongsian tersebut mengundang pelbagai reaksi netizen yang turut berkongsi pengalaman berdepan dengan individu yang mempunyai sikap yang sama.
Seorang pengguna mendakwa pernah tinggal bersama individu yang terlalu pengotor sehingga terdapat ulat sampah merayap di lantai rumah.
“Yang peliknya, mereka tidak geli langsung. Macam haiwan peliharaan pula ulat itu. Saya terus pindah keluar sebab tidak tahan penat menjadi orang gaji, asyik membersihkan rumah untuk mereka,” katanya.
“Ini kebanyakan muka lawa, wangi dari Melaka ke Kuala Lumpur boleh bau, tetapi pengotor. Boleh pula mereka hidup dalam keadaan macam ini,” komen yang lain.
“Ya Allah, kita yang lelaki ini pun sebelum pergi kerja kemas katil. Bangun tidur pun kemas katil, cuci cadar setiap minggu dan pastikan katil sentiasa teratur,” komen hasz94 pula.
“Semalas-malas aku, tidak ingin aku tinggalkan sisa makanan sampai berulat. Sampah pun saya buang kalau penuh. Kadang-kadang mata pandai sakit tengok benda belum basuh,” ujar yang lain. – KOSMO! ONLINE
















