PETALING JAYA – Penduduk sekitar Puncak Alam terharu apabila ‘penduduk asal’ kawasan tersebut iaitu haiwan liar seperti tapir masih lagi dilihat merayau sekitar hutan berhampiran.
Menerusi perkongsian oleh seorang pengguna di aplikasi Threads yang dikenali sebagai Fairzul, kelibat haiwan terbabit berjaya dirakam berdekatan kawasan hutan sekitar Puncak Alam.
“Kelibat penduduk awal puncak alam… masih ada lagi,”tulisnya.
Menurut individu tersebut, dia berharap agar haiwan liar masih mempunyai tempat berlindung di sekitar Puncak Alam .
“Tengah-tengah baca komen korang sambil bancuh kopi ni, jujur rasa sebak. Harap masih ada ruang untuk hidupan liar ni terus hidup kat Puncak Alam,”katanya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna mahu kawasan hutan di sekitar Puncak Alam terus terpelihara agar habitat haiwan liar itu tidak terganggu.
“Wahh. Tapir janganlah pergi tarah hutan-hutan tu lagi. Sian dorang takde tempat nanti,”tulis Fatiyayah.
Turut meninggalkan komen adalah seorang lagi pengguna dikenali sebagai Shaq_1312.
“Fuhh penduduk asal, macam mana dia boleh survive (bertahan) dekat sini padahal kiri kanan dah penuh dengan pembangunan,”katanya.-KOSMO! ONLINE














