BERMULA dengan hobi dan keinginan enam sekawan untuk berkumpul bersama rakan-rakan yang mempunyai minat sama terhadap Yamaha RXZ, siapa sangka pertemuan kecil itu akhirnya berkembang menjadi himpunan ratusan ribu peminat dari seluruh negara.
Enam sekawan dari Terengganu inilah yang menjadi pencetus kepada RXZ Members yang kini sudah memasuki edisi kelapan. Pada awalnya hanya sekadar hobi dan gurauan sesama sendiri, namun akhirnya berkembang menjadi himpunan besar yang mencetuskan fenomena dalam kalangan peminat RXZ di seluruh negara setiap tahun.
Mereka ialah Mohamad Faizal Mat Ali, Mohd. Ridzwan Idris, Mohd. Lukhman Hassan, Hilman Hamzah, Nasrul Azwan dan Amirul Hakim yang sehingga kini masih utuh mengendalikan program berkenaan.
Menurut Faizal, ketika idea itu mula dicetuskan, mereka tidak pernah meletakkan sasaran untuk mengadakan sebuah perhimpunan besar, jauh sekali membayangkan mampu menarik ratusan ribu pengunjung.
“Awal-awal dulu kita cuma nak kumpulkan kawan-kawan yang ada RXZ. Kita nak buat gathering sahaja.
“Tak sangka pula boleh jadi sebesar ini dan sehingga menjadi fenomena di Malaysia,” katanya kepada CitaRasa.
Ujarnya, pada peringkat awal mereka hanya menyasarkan peminat dari Pantai Timur kerana merasakan usaha untuk menghimpunkan pemilik RXZ dari seluruh negara terlalu besar untuk dilakukan.
“Kita fikir Terengganu, Kelantan dan Pahang dahulu di awal penganjuran. Kalau nak buat seluruh Malaysia ketika itu, kita rasa macam tak logik.
“Pantai Timur pun luas, jadi kita kumpulkan yang dekat-dekat dahulu,” katanya.
Bagaimanapun, sambutan yang diterima semakin berkembang apabila peminat dari negeri lain mula menunjukkan minat untuk menyertai perhimpunan berkenaan.
Daripada sekadar kenalan dalam komuniti, jumlah peserta bertambah sedikit demi sedikit apabila pemilik RXZ dari Selangor, Perak, Pulau Pinang, Johor dan negeri-negeri lain turut hadir.
Mohd. Ridzwan berkata, antara perkara yang paling menarik perhatiannya ialah kesanggupan peminat menempuh perjalanan jauh semata-mata untuk berkumpul bersama komuniti RXZ.
“Ada dari Perak, Pulau Pinang, Johor, malah paling menyentuh hati kami, ada kawan-kawan dari Borneo juga sanggup turun ke Terengganu.
“Bagi mereka, ia bukan sekadar datang ke program. Perjalanan itu pun sebahagian daripada pengalaman sebab mereka boleh ride dan mengembalikan kenangan dulu bersama kawan-kawan,” katanya.
Dimulakan sejak tahun 2017, himpunan besar itu diadakan di Litar Permotoran Terengganu, Gong Badak pada setiap edisi. Bagi tahun ini, acara itu telah diadakan pada 30 Julai hingga 1 Ogos lalu.
Menurut Mohd. Ridzwan, kehadiran peserta dari pelbagai negeri turut membuka peluang kepada mereka mengenali Terengganu dengan lebih dekat.
Peserta bukan sahaja meluangkan masa di lokasi program, malah mengambil kesempatan menikmati makanan tempatan, mengunjungi pantai dan meneroka destinasi pelancongan sepanjang berada di negeri ini.
“Ada yang datang lebih awal dan balik lewat sebab nak berjalan-jalan.Terengganu ini banyak tempat yang boleh pergi. Ada pantai, pulau, tempat makan dan macam-macam lagi,” katanya.
Namun, bagi Mohd. Ridzwan, perkara yang paling meninggalkan kesan kepada mereka sebagai penganjur ialah keramahan masyarakat Terengganu dalam menerima kehadiran peserta dari luar.
Katanya, penduduk tempatan bukan sekadar menerima kehadiran mereka, malah ada yang sanggup membantu menyediakan makanan, minuman dan keperluan lain ketika peserta berada di Terengganu.
“Benda itu yang kita sebagai penganjur rasa sangat terharu dan di luar jangkaan kita.
“Mereka datang untuk program kita, tetapi rakyat sendiri macam sama-sama membantu supaya orang yang datang dari jauh rasa selesa,” katanya.
Menurutnya, sikap masyarakat yang mudah membantu itu turut menjadi antara sebab peserta berasa selesa untuk kembali ke Terengganu setiap tahun.
Malah, ada peserta yang pada asalnya datang semata-mata untuk menyertai RXZ Members tetapi mengambil peluang untuk bercuti bersama keluarga atau rakan selepas tamat program.
“Orang datang ke sini, mereka rasa orang Terengganu ini ramah. Kalau nak tanya jalan, nak cari makan atau perlukan bantuan, ada yang akan tolong.
“Benda macam ini mungkin nampak kecil tetapi bagi orang yang datang dari jauh, ia memberi kesan,” katanya.

Dalam pada itu, perkembangan RXZ Members turut membuka mata enam sekawan tersebut terhadap satu perkara yang tidak pernah mereka jangka iaitu minat terhadap motosikal yang sinonim dengan era 1990-an itu masih kuat dalam kalangan generasi muda.
Menurut Faizal, pada mulanya mereka menyangka majoriti peminat terdiri daripada golongan yang membesar bersama RXZ dan mempunyai pengalaman sendiri dengan motosikal berkenaan.
Namun, kehadiran peserta muda dalam setiap edisi membuktikan RXZ turut berjaya menarik perhatian generasi yang lahir selepas motosikal itu mula popular.
“Yang menariknya, kita tengok budak-budak muda pun minat RXZ. Padahal kita tahu RXZ ini motosikal zaman 90-an. Kita sendiri pun tertanya-tanya macam mana generasi muda sekarang boleh kenal dan minat motosikal ini,” katanya.
Katanya, sebahagian daripada golongan muda berkenaan mungkin mengenali RXZ melalui keluarga, rakan-rakan dan komuniti peminat yang semakin berkembang.
Ada juga yang mula tertarik selepas melihat motosikal itu digunakan, dipulihkan atau diubah suai oleh peminat lain.
Bagi Faizal, keadaan itu menunjukkan RXZ sudah melepasi nilai nostalgia yang hanya terikat dengan satu generasi.
Sebaliknya, motosikal berkenaan terus mendapat tempat kerana wujudnya komuniti yang memastikan minat terhadapnya sentiasa hidup.
“Sekarang ini kita tengok umur peserta datang dari pelbagai lapisan umur. Ada yang memang membesar dengan RXZ tetapi ada juga yang masih muda dan baru mengenali RXZ,” kata Faizal yang turut mendapat julukan ‘Menteri RXZ’.
Kepelbagaian usia dalam komuniti itu menjadikan RXZ Members lebih bermakna kerana peminat lama dan generasi baharu dapat berkongsi pengalaman.
“Bila orang lama dengan orang muda duduk sekali, mereka boleh berkongsi cerita. Orang lama cerita pengalaman mereka dengan RXZ, orang muda pula bawa minat mereka sendiri,” katanya.
Menurutnya, perkembangan tersebut cukup menggembirakan kerana menunjukkan motosikal yang sudah berusia beberapa dekad itu masih mampu menarik minat anak muda.
Malah, bagi sebahagian peminat, RXZ bukan sekadar sebuah motosikal tetapi mempunyai nilai sentimental yang berkait persahabatan, kenangan dan pengalaman hidup. Hal itu dapat dilihat menerusi kesanggupan peserta meredah perjalanan jauh untuk bertemu rakan-rakan yang mungkin hanya mereka kenali melalui komuniti RXZ.
Ada yang datang secara berkumpulan dari negeri masing-masing, malah menjadikan perjalanan ke Terengganu sebagai aktiviti ‘ride’ bersama sebelum bertemu peserta lain di lokasi program.
Menurut Ridzwan, situasi itu antara perkara yang menjadikan RXZ Members berbeza daripada acara motosikal biasa.
Katanya, peserta bukan sahaja mengejar program utama tetapi turut menikmati pengalaman sepanjang perjalanan dan peluang bertemu rakan baharu.
Dalam masa sama, kehadiran peserta dalam jumlah besar turut memberi limpahan kepada masyarakat setempat khususnya pengusaha penginapan, restoran dan perniagaan kecil.
Pihak penganjur melihat perkembangan itu sebagai satu kesan sampingan yang positif kerana kehadiran peminat dari seluruh negara secara tidak langsung menggerakkan aktiviti ekonomi sepanjang tempoh acara berlangsung.
Namun, bagi enam sekawan terbabit, perkara paling utama tetap semangat komuniti yang menjadi asas kepada RXZ Members sejak awal.
Faizal berkata, mereka tidak pernah menyangka idea yang bermula daripada minat dan gurauan sesama sendiri akhirnya mampu bertahan sehingga edisi kelapan.
“Dulu kita nak kumpul kawan-kawan yang terdekat sahaja. Tetapi sekarang orang datang dari seluruh Malaysia. Kita pun kadang-kadang tak percaya benda yang kita buat sebab hobi ini boleh jadi macam ini,” katanya.
Ternyata, di sebalik kemeriahan RXZ Members yang menghimpunkan ratusan ribu peminat, kisahnya tetap bermula dengan perkara paling sederhana iaitu enam sahabat, satu hobi dan keinginan untuk berkumpul bersama rakan-rakan yang berkongsi minat terhadap sebuah motosikal legenda.














