Nooranis hadir ke IPD Petaling Jaya selepas membuat laporan menuntut pembelaan kematian abangnya ketika dalam tahanan lokap. FOTO RATU NAGA

Gesa kes bunuh abang disiasat Seksyen 302 – Nooranis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Keluarga Allahyarham Noorizwan Zulkefly mendesak kematiannya dalam tahanan polis di IPD Cheras pada 1 Oktober lalu disiasat kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan susulan penemuan 46 kecederaan luaran pada tubuhnya.

Adik Allahyarham, Nooranis Zulkefly, 34, berkata, desakan itu dibuat selepas menerima laporan bedah siasat abangnya pada 16 November lalu.

Menurutnya, laporan bedah siasat yang disediakan pakar patologi forensik mendedahkan beberapa penemuan serius termasuk kecederaan pada seluruh tubuh mangsa.

Katanya, sebanyak 46 kecederaan luaran ditemukan dari kepala hingga tapak kaki, termasuk lebam, luka calar dan luka koyak pada kepala, muka, bahu, belakang, tangan, pergelangan tangan, paha, lutut, kaki serta tapak kaki.

“Lebih mengejutkan, punca kematian abang dinyatakan sebagai head injury due to blunt force trauma iaitu kecederaan kepala akibat trauma tumpul.

“Malah, pakar patologi berpendapat bahawa kecederaan-kecederaan tersebut konsisten dengan kecederaan akibat trauma tumpul yang dilakukan oleh seorang dan atau lebih, dalam tempoh tiga hari sebelum kematiannya,” katanya ketika ditemui media di IPD Petaling Jaya, di sini hari ini.

Beliau berkata, laporan itu turut mendedahkan beberapa kecederaan dalaman serius termasuk pendarahan di bawah kulit kepala, pendarahan menyeluruh di permukaan otak, lebam pada otak di bahagian hadapan kanan serta lebam pada mesenteri usus.

Pemeriksaan mikroskopik juga menunjukkan pendarahan sehingga ke dalam otot di bawah lebam-lebam berkenaan.

Tambahnya, pakar patologi turut mendapati tiada sebarang penyakit semula jadi yang menyebabkan atau menyumbang kepada kematian abangnya.

“Berdasarkan laporan bedah siasat ini, adalah jelas bahawa abang saya telah dipukul berulang kali di seluruh badannya semasa berada dalam tahanan polis di IPD Cheras,” katanya.

Katanya, beliau dan keluarga amat kecewa apabila sehingga 56 hari selepas kematian abangnya, masih tiada anggota polis yang ditahan, digantung tugas atau didakwa berhubung kejadian itu.

“Kes ini juga masih disiasat di bawah Seksyen 331 Kanun Keseksaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN