ISKANDAR PUTERI – Polis mengesan satu rakaman video kejadian kemalangan melibatkan sebuah kereta dan motosikal di kawasan Nusa Bestari, Iskandar Puteri pada malam kelmarin.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Polis, Radin Ramlan Radin Taha berkata, rakaman video tersebut dimuat naik oleh pemilik akaun “ Azman Man Ten” sepertimana pautan di URL “ www://facebook.com/share/r/1GNe4RCUjs/
Katanya, berikutan itu Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Daerah (IPD) Polis Iskandar Puteri telah menjalankan siasatan dan mendapati terdapat unsur jenayah curi kabel Telekom Malaysia ( TM) di sebalik kejadian kemalangan tersebut.
“Dalam kejadian tersebut dua lelaki tempatan berusia 22 dan 34 tahun telah mengalami kecederaan parah dibahagian kaki dan kepala telah dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru.
“Namun pada 25 November salah seorang mangsa telah meninggal dunia pada kira-kira pukul 10.00 pagi,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Tambah Raden Ramlan, pada peringkat awal kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 oleh pihak polis traffik daerah Iskandar Puteri.
Sebelum itu Kosmo Online melaporkan hasrat beberapa individu cuba mencuri kabel terbantut apabila tindakan tidak bermoral itu dihalang oleh sekumpulan orang awam dalam satu kejadian yang dipercayai berlaku dekat Skudai, Johor semalam.-KOSMO! ONLINE














