PETALING JAYA – Seorang guru menerima kejutan apabila namanya dikemukakan dalam Sistem Pengurusan Aduan Awam (Sispaa) oleh pelajarnya sendiri.
Bagaimanapun, aduan tersebut bukan dibuat atas kesalahan terhadap guru berkenaan, sebaliknya sebagai tanda penghargaan.
Perkara itu dikongsikan sendiri oleh guru mata pelajaran Sejarah dikenali sebagai Fahmi Fadzli menerusi satu hantaran di Threads.
“Kali pertama dalam perkhidmatan kena Sispaa oleh pelajar sendiri.
“Terima kasih kerana telah Sispaa saya dan cikgu-cikgu lain. Semoga anda menjadi insan yang cemerlang dan berjaya dunia akhirat. Aminn,” tulisnya di ruangan kapsyen.
Fahmi turut berkongsi kandungan Sispaa bertajuk ‘Penghargaan dan Mohon Restu kepada Guru-guru SMK Intan Perdana’ yang dikemukakan oleh pelajarnya, Muhammad Haziq Ashraf.
Menerusi penghargaan tersebut, pelajar berkenaan menzahirkan rasa terima kasih kepada semua guru yang telah mendidik, membimbing dan mencurahkan ilmu kepadanya sepanjang tempoh persekolahan.
“Segala pengorbanan, kesabaran dan komitmen guru dalam memastikan saya memahami setiap ilmu amat saya hargai.
“Setiap nasihat dan teguran guru akan saya jadikan panduan untuk memperbaiki diri dan menghadapi peperiksaan dengan lebih yakin,” katanya.
Dalam pada itu, pelajar tersebut turut memohon maaf atas segala kesilapan dan kekurangan sepanjang bergelar anak murid selain mendoakan agar segala ilmu yang dicurahkan guru-gurunya menjadi amal jariah.
“Terima kasih, cikgu, atas segala jasa dan pengorbanan yang tidak ternilai. Jasa cikgu akan sentiasa saya kenang.
“Semoga saya dapat membalas segala usaha cikgu dengan kejayaan yang membanggakan,” tambahnya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna media sosial memberikan reaksi positif selain memuji tindakan pelajar terbabit.
“Macam pertama kali nampak guru kena Sispaa sebab perkara positif. Tahniah cikgu,” ujar Daniella.
“Dari segi penulisan, memang sah budak ini pelajar cemerlang dan tiada masalah dengan penjodoh bilangan. Semoga maju jaya adik,” kata Syaz. – KOSMO! ONLINE














