MASALAH kemurungan sering kali tidak disedari, khususnya apabila usia semakin lanjut, keupayaan fizikal merosot dan masalah kesihatan mula membelenggu kehidupan.
‘Usia emas’ sering kali digambarkan sebagai fasa kehidupan yang indah, tenang dan lapang, terisi dengan detik menggembirakan bermain bersama cucu serta peluang menikmati percutian santai.
Gambaran itu mungkin benar bagi sesetengah orang, namun ada yang berasakan kebahagiaan kian pudar dan hidup semakin hambar, sedangkan mereka sendiri tidak tahu sebabnya.
Data tentang kemurungan dalam kalangan warga emas di negara kita adalah terhad. Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2023 melaporkan prevalens kemurungan sebanyak 3.1 peratus dalam kelompok berusia 60 tahun ke atas, namun pakar berpandangan angka sebenar mungkin jauh lebih tinggi.
Malah, ada satu kajian yang menunjukkan prevalens kemurungan dalam kalangan warga emas mencecah 28 peratus. Jurang perbezaan itu boleh berpunca daripada gabungan beberapa faktor.
Warga emas dan ahli keluarga mereka mungkin tidak mengenali gejala kemurungan, dan menganggap gejala tersebut hanya bersifat sementara, atau berasa malu untuk mendapatkan bantuan.
Pakar Psikologi Klinikal merangkap Ketua Jabatan di IMU University, Dr. Serena In menjelaskan, peringkat usia itu hadir bersama pelbagai cabaran, termasuklah masalah kesihatan, kelemahan fizikal dan kehilangan keupayaan untuk berdikari.

Ramai warga emas juga berhadapan dengan keadaan yang boleh mencetuskan gejala kemurungan seperti kesunyian atau pengasingan sosial, kehilangan pasangan atau insan tersayang.
“Ini adalah situasi lazim yang dihadapi oleh warga emas. Memandangkan Malaysia kini sedang mengalami penuaan penduduk yang pesat, maka kita perlu memberi perhatian serius kepada usaha untuk membantu warga emas kita yang mungkin terkesan,” katanya.
Kemurungan sering kali kurang difahami atau terlepas daripada perhatian warga emas sendiri, mahupun ahli keluarga mereka.
Kaunselor dan Pensyarah di IMU University, Dr. Chin Hui Sian berkata, mengalami pelbagai emosi termasuk sekali-sekala berasa sedih atau murung adalah perkara yang lumrah.
Bagaimanapun, perasaan murung yang berpanjangan, kehilangan minat atau keseronokan terhadap sesuatu aktiviti, serta perubahan emosi dan tingkah laku lain yang ketara sehingga menjejaskan fungsi harian, tidak seharusnya diabaikan.
Sebagai contoh, seseorang itu mungkin mengalami perubahan yang ketara dalam selera atau corak pemakanan, tidur lebih lama atau lebih singkat daripada kebiasaan, atau mula mengasingkan diri daripada orang lain.
Perubahan-perubahan itu mungkin menandakan tekanan emosi atau masalah kesihatan mental seperti kemurungan, walaupun ia juga boleh disebabkan oleh faktor lain.
Jika perubahan itu berterusan atau menjejaskan kehidupan seharian, individu tersebut mungkin perlu mendapatkan bantuan profesional.
Kaunselor, pakar psikologi klinikal dan pakar psikiatri memainkan peranan dalam mengenal pasti serta menangani isu kesihatan mental warga emas.
Kaunselor mungkin menggunakan alat saringan dan penilaian klinikal untuk memahami kebimbangan seseorang.
Pakar psikologi klinikal dan pakar psikiatri pula boleh menjalankan penilaian lanjut untuk meneliti gejala serta membuat diagnosis mengikut skop amalan profesional masing-masing.
Jika perlu, seseorang itu juga boleh dirujuk kepada doktor perubatan untuk mengenal pasti kemungkinan punca fizikal yang menyebabkan gejala tersebut.
Bergantung kepada dapatan penilaian, sokongan yang diberikan kepada seseorang itu mungkin merangkumi sesi kaunseling, rawatan psikologi, ubat-ubatan atau gabungan pelbagai pendekatan.
Dr. Serena menjelaskan, gejala kemurungan tidak sama dengan mengalami kemurungan secara klinikal.
Katanya, individu yang mengalami gejala kemurungan boleh dibantu melalui terapi perbualan, manakala kemurungan secara klinikal pula memerlukan gabungan terapi dan rawatan farmakologi (ubat-ubatan).
“Namun, hanya pakar psikologi klinikal atau pakar psikiatri yang berkelayakan untuk membuat diagnosis dan mencadangkan rawatan yang sewajarnya,” ujarnya.
Walaupun kemurungan boleh berlaku pada semua peringkat umur, tetapi ada beberapa cabaran lebih kerap dihadapi oleh warga emas, yang mungkin tidak mampu atau tidak bersedia untuk menceritakan gejala dialami atau meluahkan perasaan mereka.
“Individu daripada generasi berbeza mungkin mempunyai pandangan yang berlainan tentang kemurungan.
“Ini mungkin berpunca daripada pegangan hidup bahawa mereka perlu kekal kuat, menunaikan tanggungjawab atau menangani masalah sendiri supaya tidak menjadi beban keluarga,” katanya.
Satu lagi cabaran adalah keengganan mendapatkan atau menerima rawatan.
Menurut Dr. Serena, ia lazim berlaku apabila mereka berasa dipaksa oleh ahli keluarga yang menganggap terapi sebagai penyelesaian pantas.
“Dalam sesetengah keadaan, rasa terabai atau terkilan mungkin menandakan wujudnya masalah keluarga yang perlu ditangani terlebih dahulu agar terapi berkesan,” katanya.
Sementara itu, Dr. Hui Sian menasihatkan supaya orang ramai mengambil pendekatan yang lembut, prihatin dan berhemah.
“Menunjukkan keprihatinan serta memulakan perbualan dengan empati dan rasa hormat boleh memberikan kesan yang besar.
“Daripada bercakap seolah-olah merendahkan dan mengkritik tingkah laku mereka atau memaksa warga emas mendapatkan bantuan, lebih baik berkongsi apa yang kita perhatikan,” ujarnya.
Ada banyak perkara yang boleh kita lakukan untuk membantu warga emas meniti usia tua dengan bermaruah dan menikmati hidup berkualiti. Usaha itu juga dapat mewujudkan masa depan lebih baik untuk kita.














