KOTA BHARU – Barisan kepimpinan dan jawatankuasa eksekutif baharu Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) akan menggunakan 100 hari pertama untuk menetapkan hala tuju baharu, termasuk merangka kaedah pemulihan penuh organisasi berkenaan.
Presiden KAFA, Datuk Seri Rosmadi Ismail berkata, langkah pemulihan badan induk bola sepak negeri itu perlu dilaksanakan secara berfasa, bermula dengan memperkemaskan kembali aspek pentadbiran, sebelum turun kepada pembangunan.
Menurutnya, perbincangan barisan ahli jawatankuasa eksekutif baharu sudah pun dijalankan secara tidak rasmi untuk menetapkan apa yang perlu dilaksanakan serta mahu dicapai.
“Bagi saya, usaha pemulihan KAFA ini perlu mempunyai fasa-fasa tertentu, sama ada satu, dua atau tiga fasa. Kita kena lihat apa yang mahu dirangka dan dicapai dalam masa 100 hari terbaharu ini.
“Selepas ini kita akan adakan mesyuarat pertama jawatankuasa eksekutif untuk memperhalusi perancangan kita,” katanya pada sidang media selepas Kongres Luar Biasa KAFA, hari ini.
Rosmadi mengakui tindakan penggantungan yang dikenakan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ke atas KAFA selama hampir dua tahun telah menyebabkan banyak aktiviti pembangunan bola sepak negeri terbantut.
Sehubungan itu, tumpuan utama KAFA selepas ini adalah untuk membangunkan bakat-bakat baharu dalam sukan bola sepak, selain pengadil dan jurulatih. – KOSMO! ONLINE














