KUALA TERENGGANU – Pengurusan kewangan secara cermat serta usaha membendung ketirisan membolehkan kerajaan mengekalkan subsidi minyak dan menyalurkan bantuan kepada rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kemampuan Malaysia menawarkan harga minyak yang rendah turut menarik perhatian pemimpin negara lain dalam pertemuan beliau di peringkat antarabangsa.
Menurutnya, harga minyak yang rendah dinikmati rakyat bukanlah sesuatu yang diperoleh secara percuma sebaliknya melibatkan tanggungan kewangan yang besar oleh kerajaan.
“Kerajaan kena tampung kos subsidi RM40 bilion setahun untuk pertahankan harga minyak.
“Bagaimana boleh kita ambil RM40 bilion selain RM16 bilion untuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA)
“Sebabnya kerja cermat dalam pengurusan kewangan. Kita elak daripada kecurian, bocor dan sebagainya,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Pingat Emas Yayasan Terengganu Kali Ke-46 dan Hadiah Kecemerlangan Pendidikan di Taman Tamadun Islam, di sini, hari ini.














