AMPANG – “Satu hari nanti, kau boleh jadi tukang urut,” itu adalah kata-kata ‘ajaib’ yang keluar daripada mulut arwah neneknya kepada usahawan, Mohd. Izzudin M. Bakri, 42, sehingga membolehkan beliau berjinak-jinak membina empayar bisnesnya dalam bidang terapi.
Pada usia remaja, beliau suka mengurut kaki arwah neneknya tanpa sebarang ilmu yang dipelajari tetapi kemahiran tangannya mengurut membuatkan neneknya berasa lega.
Pengasas MIB Enterprise yang lebih dikenali sebagai Uncle Deen telah terlibat dalam bidang terapi sejak 13 tahun lalu kemudian mendaftarkan diri sebagai pengamal perubatan tradisional untuk membolehkan beliau aktif dalam perniagaan tersebut.
Ini secara tidak langsung berkait dengan kemelut hidupnya yang berdepan penyakit yang dihadapinya berkaitan anxiety, vertigo dan gerd yang serius sehingga mengganggu emosi dan juga kegiatan hariannya.
Lebih malang, beliau yang pernah menunggang motosikal di lebuh raya, secara tiba-tiba diserang penyakit tersebut sehingga hampir kehilangan nyawanya tanpa bantuan segera daripada orang ramai ketika itu.

Pelbagai cabaran yang dihadapinya sepanjang tempoh rawatan tersebut termasuk dalam tempoh pandemik yang menjuruskannya kepada berhalunisasi.
Bertitik tolak daripada cabaran tersebut, beliau mula menceburkan diri dalam bidang perubatan tradisional untuk mengubat dirinya sendiri.
Setelah keadaan dirinya kembali sihat, beliau menggunakan kemahiran yang diperoleh itu dengan mengurut hanya terhad kepada ahli keluarganya.
Sehinggalah beliau memberanikan diri membantu mengurut seorang kenalan yang mengalami angin ahmar dari kaki hingga pinggang.
Khidmatnya berkesan setelah mengurut pesara tentera itu selama lebih kurang dua minggu dengan mengamalkan teknik mengurut di bahagian saraf pada anggota badan sehingga membolehkan warga emas itu berjalan dan menunggang motosikal.
Langkah Mohd. Izzuddin dalam dunia perniagaan tersebut sambil di sokong oleh isterinya, Intan Nurzulaifah Mohamad, 48, yang turut memiliki kemahiran mengurut yang juga dikenali sebagi Auntie Intan dalam kalangan pelanggannya .
Wanita yang memiliki pengalaman dalam bidang terapi selama 12 tahun itu juga memiliki Diploma Kemahiran Malaysia Tahap 4 (DKM4) dan Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 3 (SKM3).
“Pada awal perniagaan, kami bergerak dari rumah ke rumah mengikut tempahan pelanggan untuk membantu pesakit angin ahmar tetapi cabarannya ialah kami pernah dimarahi, malah dimaki keluarga pesakit yang tidak sabar dengan progres kesihatan pesakit tersebut.

“Kami tahu, mereka terlalu berharap untuk melihat pesakit yang mungkin terdiri daripada ibu dan bapa mereka, lantas meletakkan keyakinan yang tingggi kepada kami.
“Kami melakukan khidmat terapi untuk pesakit di rumah dan mereka nampak positif ketika itu tetapi selepas kami pulang ke rumah, kami mendapat panggilan daripada pelanggan yang mengadu mak atau bapa mereka tidak cergas, malah tidak mahu berusaha menggerakkan diri. Akhirnya kami dimarahi mereka.
“Dari situ, kami ambil keputusan untuk tidak mengambil sebarang tempahan untuk melakukan terapi pada pesakit angin ahmar,” terang Intan.
Selepas melalui beberapa insiden tersebut, pasangan suami isteri ini mencari idea baharu dalam tawaran perkhidmatan mereka agar ia lebih unik dan berbeza daripada pengamal diperoleh pemain dalam industri tersebut.
“Akhirnya kami menemui satu signatur perkhidmatan terapi yang istimewa dan membolehkan kami kekal kukuh,” jelasnya.
Izzudin meminta berkat dan restu daripada orang tua untuk menggunakan rumah peninggalan tersebut sebagai pusat rawatan.
Bermula dengan beroperasi di bahagian atas rumah itu, perniagaannya semakin berkembang sehingga membolehkan rumah pusaka itu diubah suai untuk membolehkan premis tersebut dilengkapi dengan pelbagai kemudahan serta mampu menerima lebih ramai pelanggan.
“Satu sahaja pesanan arwah mak kepada kami iaitu apabila tawarkan perkhidmatan kepada orang ramai, jangan terlalu letak harga tinggi kepada mereka dan berniatlah untuk membantu masyarakat.
“Bersandarkan kepada pesanan itu, harga perkhidmatan yang kami tawarkan adalah sekitar RM100 hingga RM200 seorang,” ujarnya sambil menambah, syarikat telah berdaftar di bawah Bahagian Perubatan Tradisional dan Komplementari, Kementerian Kesihatan.
Mohd. Izzudin yang memiliki, Diploma Kemahiran Malaysia Tahap 4 (DKM4) dan Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 3 (SKM3) menerangkan, purata pelanggan yang berkunjung ke rumahnya sekitar kira-kira 10 orang dengan tempoh rawatan selama kurang 20 minit.
Tambah beliau, pelanggannya terdiri pelbagai peringkat umur yang datang untuk mendapatkan khidmat berkaitan penyakit gerd, anxiety dan juga vertigo yang mana rata-ratanya, ia adalah penyakit biasa yang dialami masyarakat masa kini.
Selepas lima tahun beroperasi secara komersial di pusat rawatan di sini, usahawan yang sebelum ini pernah berkecimpung dalam bidang makanan dan minuman serta pakej perkahwinan pengantin itu kini mengorak langkah untuk membuka akademi bagi melatih ramai anak muda yang berminat dalam bidang tersebut.
Mohd. Izuddin menerangkan, ini adalah masa yang sesuai untuk membuka sebuah akademi menjelang tahun depan untuk mengembangkan lagi perniagaan asasnya.
Akademi tersebut akan menjadi platform buat syarikat melatih peserta yang serius dalam bidang tersebut untuk diserap ke dalam MIB seterusnya bakal menjadi pelapis syarikat.-KOSMO! ONLINE
















