KUALA LUMPUR – Seramai 1,325 mangsa daripada 373 keluarga masih berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) di Perak dan Selangor setakat pagi ini.
Di Perak, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 380 orang daripada 108 keluarga pagi ini berbanding 348 orang daripada 99 keluarga petang semalam, dengan kesemua mereka ditempatkan di dua PPS.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JBPN) dalam kenyataan memaklumkan, seramai 257 mangsa daripada 73 keluarga ditempatkan di PPS Dewan Rumah Rehat Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) di Hilir Perak, manakala 123 mangsa daripada 35 keluarga berlindung di PPS Dewan MPTI Langkap.
Sementara itu di Selangor, jumlah mangsa banjir di lima PPS di Kuala Selangor turut meningkat kepada 945 mangsa daripada 265 keluarga berbanding 848 mangsa daripada 236 keluarga semalam.
Menurut InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Dato’ Maharaja Lela menempatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 411 orang, diikuti SK Parit Mahang (238), Sekolah Rendah Agama Bukit Kuching (207), Sekolah Agama Batu 8 Ijok (77) dan SK Jaya Setia (12). – Bernama
















