TELUK INTAN – Calon Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) mengakui berdepan ketidakselesaan mengulang kaji pelajaran di pusat pemindahan sementara (PPS) susulan bencana banjir yang melanda daerah Hilir Perak.
Muhamad Alif Danish Abdul Rahim, 17, berkata, dia sekeluarga dipindahkan ke PPS Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) Langkap selepas kediamannya di Kampung Batu 8, Jalan Changkat Jong, di sini dinaiki air.
Remaja itu mengharapkan bencana tersebut segera pulih agar dia dapat membuat persiapan akhir SPM yang dijadualkan bermula pada 23 November ini dalam keadaan yang lebih selesa.
“Di rumah memang lebih selesa, dapat fokus mengulang kaji sejam dua sehari. Di PPS suasananya agak ramai dan bising sedikit, jadi tumpuan itu agak terbatas, tetapi saya cuba buat mana yang mampu.
“Saya bersyukur kerana guru-guru ada membekalkan dan berkongsi nota-nota penting secara dalam talian bagi memudahkan saya mengulang kaji pelajaran di sini (PPS),” katanya kepada Bernama hari ini.
Menurut pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Abdul Rahman Talib itu, dia tidak meletakkan sasaran yang tinggi, sebaliknya berharap dapat memberikan yang terbaik untuk melanjutkan pengajian dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“Saya mahu lulus dan melanjutkan pelajaran dalam bidang TVET, yang menjadi cita-cita selama ini,” kata anak bongsu daripada lima beradik itu.
Sementara itu, ibunya, Jamilah Abdul Syukor, 49, berkata, Muhamad Alif mungkin berdepan situasi sama seperti anak keempatnya yang pernah menduduki SPM ketika dia sekeluarga ditempatkan di PPS sama tahun lalu.
“Jika banjir tidak surut dalam masa dua minggu ini, Muhamad Alif mungkin terpaksa mengulang kaji pelajaran di PPS ini sepanjang tempoh peperiksaan berlangsung,” katanya.
Wanita itu berkata, banjir kali ini adalah antara yang terburuk pernah dialaminya sepanjang 17 tahun menetap di kampung berkenaan.
Air mula memasuki kawasan rumah pada pukul 10 pagi, Jumaat lalu sebelum paras air naik dengan cepat sehingga ke paras lutut dalam masa beberapa jam sekali gus memaksa Jamilah sekeluarga berpindah demi keselamatan.
“Saya bersama suami serta lima anak berada di rumah ketika kejadian berlaku. Apabila menyedari air mula naik dengan cepat, kami segera membuat persiapan awal dengan mengemas serta menyelamatkan barangan berharga di tempat yang lebih tinggi dan selamat.
“Selepas itu, baru kami hubungi pihak bomba untuk mendapatkan bantuan, sebelum dibawa ke PPS pada pukul 1.30 tengah hari,” katanya.
Setakat 8 pagi tadi, bilangan mangsa banjir di Perak meningkat kepada 380 orang membabitkan 108 keluarga, berbanding 348 orang daripada 99 keluarga petang semalam.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan, di Hilir Perak, jumlah mangsa yang ditempatkan di PPS Dewan Rumah Rehat MPTI meningkat kepada 257 orang ekoran paras air kembali naik di kawasan rumah mereka susulan hujan berterusan petang semalam.
Mangsa yang berlindung di PPS Dewan MPTI Langkap turut meningkat kepada 123 orang membabitkan 35 keluarga.
















