Anthony.

Saya pilih jadi orang politik ‘cakap serupa bikin’ – Anthony

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Bekas Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mahu membuktikan dirinya sebagai ahli politik yang berpegang kepada prinsip ‘cakap serupa bikin’ apabila mengesahkan keputusan melepaskan jawatannya berkuat kuasa semalam.

Menurutnya, beliau menyedari masyarakat semakin kurang mempercayai kenyataan ahli politik berikutan tanggapan bahawa golongan itu sering tidak mengotakan apa yang dijanjikan.

“Dalam banyak profesion, doktor orang percayalah, cikgu mungkin orang percayalah, peguam pun dia separuh-separuh saja. Sebab peguam ini tiap-tiap peguam dia ada pandangan berlainan, ada interpretasi berlainan.

“Tetapi, orang politik ini, berdasarkan banyak kaji selidik, merupakan antara profesion yang paling tidak dipercayai. Ramai yang berpandangan, cakap tak serupa bikin, bikin tak serupa cakap.

“Tetapi saya nak nyatakan bahawa saya nak pilih sebagai seorang ahli politik yang cakap serupa bikin. Maksudnya apa yang saya katakan, apa yang saya cakap itu akan saya buat, akan saya laksanakan dan bukan kata-kata omong-omong kosong,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perhimpunan bulanan Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Majlis Cahaya MADANI sempena sambutan Deepavali bersama warga kementerian di sini hari ini.

Katanya, keputusan beliau itu dibuat secara tegas dan jelas tanpa sebarang kekaburan, sekali gus menolak tanggapan bahawa hasratnya untuk melepaskan jawatan berkenaan masih belum dimuktamadkan.

Anthony yang juga Ahli Parlimen Seremban berkata, beliau mengesahkan telah meletakkan jawatannya berkuatkuasa semalam dan ia satu keputusan jelas, pasti dan tegas.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, keputusan untuk melepaskan jawatan itu adalah pendirian yang telah dinyatakannya secara terbuka hampir dua bulan lalu dan akan tetap dilaksanakan.

Katanya, kredibiliti merupakan perkara penting yang perlu dipertahankan oleh seseorang ahli politik kerana ia mencerminkan integriti diri dan kepercayaan masyarakat terhadap kepimpinannya.

“Seseorang mungkin kehilangan jawatan, namun kredibiliti tidak sepatutnya dikorbankan hanya kerana mahu mempertahankan kedudukan. Bagi saya, kata-kata saya itu ialah kredibiliti diri saya.

“Kalau seseorang itu tak ada kredibiliti, apa yang disebut, apa yang dicakap dan apa yang dibuat pun orang tidak percaya,” katanya.

Anthony berkata, prinsip berkenaan turut menjadi pegangan hidup yang dipelajari daripada bapanya, iaitu setiap perkara yang diucapkan perlu ditunaikan walaupun berdepan kesukaran.

Katanya, seseorang perlu bertanggungjawab terhadap setiap kenyataan yang dibuat kerana ia mencerminkan pendirian dan keperibadian diri.

“Apabila kita cakap sesuatu, kita kena tunaikan, kita kena buat. Walaupun kadangkala pahit, walaupun kadangkala sukar, tetapi apabila sudah sebut, itulah yang sepatutnya menjadi pegangan kepada kita,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN