Tangkap layar peta Google Maps memaparkan Jabatan Penjara Malaysia-Cawangan Duta di alamat rumah Najib.

‘Penjara Duta’ muncul dalam peta susulan tahanan rumah Najib

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Lokasi dikenali sebagai ‘Jabatan Penjara Malaysia – Cawangan Duta’ kini muncul dalam aplikasi Google Maps di kawasan Langgak Duta, Kuala Lumpur, susulan perkembangan berhubung pelaksanaan tahanan rumah terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Berdasarkan tangkap layar aplikasi berkenaan, lokasi itu ditandakan sebagai sebuah penjara dengan alamat di 11, Jalan Langgak Duta, Taman Duta, Kuala Lumpur.

Lebih menarik, lokasi tersebut turut memaparkan status beroperasi 24 jam, sekali gus mencuri perhatian berikutan kediaman Najib yang terletak di kawasan Langgak Duta.

Carian menggunakan kata kunci ‘penjara langgak duta’ turut memaparkan penanda lokasi berwarna merah dengan nama ‘Jabatan Penjara Malaysia – Cawangan Duta’.

Kemunculan penanda lokasi itu berlaku ketika isu tahanan rumah Najib menjadi perhatian ramai, khususnya mengenai peraturan serta sekatan yang dikenakan terhadap bekas pemimpin negara berkenaan.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam memerintahkan Najib menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International Sdn. Bhd. secara tahanan rumah, berkuat kuasa serta-merta.

Hakim Datuk Aslam Zainuddin membuat keputusan itu selepas membatalkan perintah terdahulu bertarikh 6 November lalu dan menggantikannya dengan perintah selaras dengan pengampunan bersyarat.

Perintah tersebut membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara yang telah dikurangkan kepada enam tahun itu secara tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028.

Beliau kemudiannya dijadualkan kembali ke Penjara Kajang pada 24 Ogos 2028 bagi menjalani hukuman berhubung kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Najib dilaporkan tiba di kediamannya di Langgak Duta kira-kira pukul 9.27 malam semalam dengan menaiki Proton X70 berwarna perak serta diiringi kenderaan Jabatan Penjara. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN