PETALING JAYA – Malaysia menerusi Lembaga Tabung Haji (TH) menerima penghargaan daripada The Kingdom of Saudi Arabia Project for Utilization of Hady & Adahi (Adahi) atas kerjasama dan sumbangan dalam menjayakan pengurusan ibadah korban dan dam di Tanah Suci pada musim haji 1447H/2026M yang lalu.
Menurut TH menerusi kenyataan, Adahi, di bawah seliaan The Royal Commission for Makkah City and Holy Sites, merupakan inisiatif Kerajaan Arab Saudi bagi tujuan penyelarasan pelaksanaan ibadah qurban, dam, fidyah, sedekah dan akikah.
“Ia merangkumi pengurusan penyembelihan di tujuh kompleks pemprosesan bersepadu di Makkah serta seterusnya pengagihan kepada golongan yang layak di lebih 27 negara di seluruh dunia,” katanya hari ini.
Pada 2025, TH melaksanakan urusan dam dan korban buat jemaah haji Malaysia melalui satu-satunya organisasi yang diiktiraf Kerajaan Arab Saudi tahun ini melalui satu memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani.
Sebelum itu, bagi urusan dam pihak TH melaksanakannya secara berasingan namun pada tahun ini dam dan juga korban akan dilakukan bersama Adahi. – KOSMO! ONLINE
















