SEREMBAN – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Negeri Sembilan merampas lebih tiga juta batang rokok seludup dan 2,910.64 liter minuman keras dalam dua serbuan berasingan di Taman Sejahtera, pada 26 Oktober lalu.
Rampasan membabitkan 3,008,200 batang rokok pelbagai jenama, minuman keras, 221 unit barangan elektrik, sebuah mesin pembungkusan serta sebuah van dengan nilai keseluruhan termasuk duti dan cukai berjumlah RM2.56 juta.
Pengarah Kastam Negeri Sembilan, Jamal Paiman berkata, rampasan itu dilakukan menerusi operasi Bahagian Penguatkuasaan JKDM Negeri Sembilan selepas menjalankan risikan selama kira-kira tiga bulan.
Beliau berkata, dalam kes pertama kira-kira pukul 3 petang, sepasukan anggota Cawangan Operasi menahan sebuah van jenis Daihatsu di lorong belakang bangunan kedai di Taman Sejahtera.
“Pemeriksaan mendapati van berkenaan membawa 10,000 paket bersamaan 200,000 batang rokok pelbagai jenama yang disyaki barang larangan import. Seorang lelaki warga tempatan berusia 42 tahun yang berada bersama kenderaan itu turut ditahan bagi membantu siasatan,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Pejabat Kastam Seremban 2 di sini, hari ini. – KOSMO! ONLINE
















