Charles (kanan) bersama Pengarah X Square Robot bagi rantau Asia Pasifik, Jade Yu.

Pos Malaysia teroka penggunaan robot AI dalam operasi logistik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) memeterai Memorandum Kerjasama dengan X Square Robot bagi meneroka penggunaan robot berasaskan kecerdasan buatan (AI) dalam mengautomasikan operasi logistik, termasuk pengendalian dan pengasingan bungkusan.

Kerjasama itu bertujuan menggabungkan kepakaran kedua-dua syarikat dalam teknologi Embodied AI, atau AI berjasad dengan pengalaman operasi logistik Pos Malaysia bagi mengenal pasti potensi penggunaan teknologi berkenaan dalam persekitaran sebenar.

X Square Robot, syarikat yang membangunkan model asas AI berjasad dan sistem robotik serbaguna akan menyediakan peralatan robotik untuk tujuan penilaian, manakala Pos Malaysia menyumbang kepakaran serta pengalaman operasi dalam industri perkhidmatan pos dan logistik.

Melalui teknologi itu, robot berupaya mengenal pasti persekitaran, menyesuaikan diri dengan perubahan keadaan serta melaksanakan tugasan fizikal yang kompleks, termasuk mengendalikan bungkusan pelbagai saiz, bentuk dan berat.

Ketua Pegawai Operasi merangkap Pengasas Bersama X Square Robot, Yang Qian berkata, sektor logistik merupakan antara bidang yang berpotensi mendapat manfaat besar daripada penggunaan teknologi AI berjasad.

Katanya, kerjasama dengan Pos Malaysia memberi peluang kepada syarikat menyesuaikan teknologinya dengan keperluan operasi sebenar serta meneroka kemungkinan baharu dalam logistik pintar.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Charles Brewer berkata, pihaknya komited memanfaatkan inovasi teknologi bagi meningkatkan kecekapan operasi dan memperkukuh mutu perkhidmatan kepada pelanggan.

“Kerjasama ini membuka ruang untuk kami meneroka bagaimana teknologi AI berjasad dapat memperkukuh operasi serta menyokong usaha transformasi berterusan syarikat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pos Malaysia kini mengendalikan rangkaian lebih 3,000 pusat perkhidmatan di seluruh negara dan menyediakan perkhidmatan kepada lebih 11 juta alamat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN