Penggunaan model AI dapat membantu penternak meramal kondisi ternakan masing-masing ketika berdepan cuaca ekstrem.

AI bantu ternakan bertahan dalam cuaca panas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Sekumpulan penyelidik dari Universiti Johannesburg (UJ), Afrika Selatan mencadangkan pelan hala tuju dasar pertanian jitu berasaskan kecerdasan buatan (AI) untuk meningkatkan keupayaan baka ternakan dalam menghadapi cuaca ekstrem.

Cadangan tersebut dikemukakan menerusi satu kajian yang diterbitkan dalam jurnal Agriculture, ketika benua Afrika kini bersiap sedia menghadapi kemuncak fenomena El Nino, antara terburuk pernah direkodkan.

Fenomena tersebut dijangka menyukarkan usaha mengekalkan kuantiti serta kualiti pengeluaran telur, susu dan daging daripada haiwan ternakan kerana mengalami tekanan haba lebih tinggi berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Bagi kebanyakan pekebun sara diri dan penternak berskala kecil, penggunaan makanan berkualiti tinggi, antibiotik serta ubat-ubatan veterinar lain akan melibatkan kos tinggi dan sukar diperoleh.

Sebaliknya, baka ternakan asli Afrika yang sebahagian besarnya diternak oleh pekebun kecil didapati mampu bertahan dalam keadaan panas terik dan kemarau.

“Namun, cuaca ekstrem itu boleh membawa maut kepada baka dari luar negara,” ujar salah seorang penulis dalam kajian berkenaan, Dr. Keabetswe Tebogo Ncube.

Walaupun kadar kelangsungan hidup baka tempatan lebih tinggi ketika keadaan ekstrem, namun kadar pertambahan berat badannya lebih perlahan berbanding baka kacukan.

Sementara itu, Pengarah Pusat Penyelidikan Metabolomik Tumbuhan UJ, Dr. Fidele Tugizimana berkata, penyaluran khidmat nasihat kepada penternak bagi pengurusan harian ternakan mampu meningkatkan produktiviti, di samping mengurangkan risiko penularan penyakit.

Bagaimanapun, khidmat nasihat itu perlu bersandarkan kepada model AI tempatan yang dibangunkan menerusi data ternakan dari ladang-ladang sekitar benua Afrika.

Menurut Ncube, sebelum berdepan kesan haba melampau dan kemarau akibat fenomena El Nino, sebilangan besar haiwan ternakan di Afrika Selatan sudah tertekan dengan persekitaran penternakan ekstensif.

“Di kawasan luar bandar, lembu, biri-biri dan kambing milik petani sara diri terpaksa ‘berjalan’ selama berjam-jam dalam cuaca panas untuk ke kawasan ragutan.

“Apabila sampai di kawasan padang ragut, haiwan ini akan lesu untuk meragut rumput, lalu memilih untuk berehat.

Ternakan di Afrika kini terjejas dari segi kualiti dan kuantiti ekoran cuaca panas yang melanda benua itu.

“Haiwan dalam keadaan sebegini akan lebih tertumpu untuk terus hidup berbanding menghasilkan daging atau susu,” ujarnya.

Selain itu, dalam keadaan cuaca panas atau kemarau, rumput dan tanaman ragutan lain turut terjejas.

Tanaman berkenaan berisiko menghasilkan nutrien penting yang lebih rendah, seperti vitamin, mineral dan protein yang amat diperlukan oleh haiwan ternakan.

Kesan rantaian berlaku apabila haiwan yang mengalami tekanan haba memakan tumbuhan terjejas akibat cuaca panas.

Jadi, sebaik sahaja model AI berjaya dibangunkan daripada data sebenar ternakan di Afrika, para peternak boleh dibimbing dengan langkah-langkah yang lebih bersasar.

Menurut Tugizimana, ramalan cuaca boleh meramalkan tahap suhu ekstrem yang berpotensi menyebabkan lembu-lembu mengalami tekanan haba.

“Baka lembu Nguni terbukti tahan dengan tekanan haba. Sekiranya analisis DNA penuh lembu dijalankan, pelaksanaan pemakanan berketepatan tinggi, suplemen serta pengurusan rapi dapat dilakukan.

“Dengan menjana lebih banyak data, model ramalan boleh dibangunkan untuk mengenal pasti senario dan isyarat tertentu.

“Jadi, kita dapat mengesan sekiranya lembu mengalami tekanan melampau akibat haba. Ini membolehkan kita membuat langkah persediaan atau intervensi sebelum keadaan haiwan merosot,” tambahnya.

Pembangunan model data itu turut memerlukan maklumat mengenai mikrob usus ternakan dan isyarat kimia (metabolit) yang dihantar serta dikumpul secara terus daripada ternakan di Afrika.

“Lebih banyak maklumat dan pemahaman yang diperoleh, lebih berkualiti model data AI yang dapat dihasilkan.

“Model-model ini seterusnya berupaya meramal sekiranya haiwan ternakan sedang tertekan, bakal berdepan masalah kesihatan atau memerlukan bantuan tertentu dalam tempoh beberapa minggu,” ujarnya.

Model AI itu akan menjadi lebih mantap sekiranya data ternakan turut merangkumi pelbagai ladang seperti pekebun kecil, terutamanya di tanah komunal.

Ini secara tidak langsung mampu membantu meningkatkan populasi manusia di Afrika dengan melindungi dan melestarikan sektor ternakannya ketika ketidaktentuan iklim.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN