JAGUH skuasy wanita negara, S. Sivasangari mengalihkan tumpuan kepada cabaran di Terbuka Hong Kong yang berlangsung dari 30 November hingga 6 Disember ini selepas dinobatkan sebagai juara Terbuka China 2026 di Shanghai, kelmarin.
Pemain ranking keempat dunia itu mengakui terdapat beberapa perkembangan positif sepanjang minggu ini yang boleh dijadikan asas untuk terus memperkemaskan rentak permainannya menjelang kejohanan bertaraf Platinum di Hong Kong nanti.
“Bukan cara yang saya inginkan untuk memenangi gelaran ini menerusi kemenangan percuma pada perlawanan akhir.
“Namun, saya tetap gembira dengan perkembangan sepanjang minggu ini dalam menyesuaikan diri dengan keadaan berbeza dan mencari rentak permainan.
“Sentiasa ada ruang untuk terus belajar dan memperbaiki diri. Seperti biasa, saya amat berterima kasih kepada penaja serta pasukan atas sokongan berterusan mereka. Seterusnya, Terbuka Hong Kong,” katanya di laman Instagram semalam.
Pada aksi Terbuka China, Sivasangari yang turun selaku pilihan utama mengesahkan kejuaraan perseorangan wanita tanpa perlu turun ke gelanggang selepas pencabar dari Jepun, Satomi Watanabe menarik diri daripada perlawanan akhir akibat masalah kesihatan.
Kejayaan di Shanghai itu menyaksikan Sivasangari meraih gelaran ke-19 dalam karier Jelajah PSA, sekali gus menambah koleksi kejayaannya di pentas antarabangsa.
Terdahulu, pada aksi separuh akhir Sabtu lalu, Sivasangari mengekalkan rekod tanpa kalah sepanjang kejohanan apabila menewaskan pemain Hong Kong, Sin Yuk Chan dalam straight- set, 11-3, 11-5, 11-8.














