KUALA LUMPUR – Skuad hoki negara menepati ramalan mara ke pentas final Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) 2026 selepas berjaya mengikat Pakistan 5-5 di Stadium Hoki Azlan Shah, sebentar tadi.
Keputusan itu menyaksikan skuad Speedy Tigers menamatkan saingan di kedudukan kedua dengan mengumpul 10 mata sekali gus akan berdepan Australia pada aksi final, Sabtu ini nanti.
Pada perlawanan tersebut, skuad kendalian Brendon Carolan bermula garang apabila membuka tirai jaringan menerusi Azrai Aizad Abu Kamal seawal minit ketiga sebelum Pakistan bangkit meledak dua gol menerusi jaringan Ahmad Nadeem pada minit ke-13 dan ke-15.
Tersentak dengan jaringan tersebut, skuad negara mula melakukan serang balas untuk bangkit mengikat kedudukan menerusi pukulan sudut penalti Marhan Jalil, lima minit kemudian.
Pakistan kembali mencuri tumpuan pada suku ketiga apabila Muhammad Ahmad meledak gol pada minit ke-32, sebelum Hanan Shahid melebarkan kelebihan kepada 4-2 pada minit ke-48, sekali gus meletakkan Malaysia dalam situasi getir.
Namun, Speedy Tigers menunjukkan semangat juang tinggi apabila Faizal Saari tampil sebagai penyelamat dengan meledak dua gol berturut-turut pada minit ke-50 untuk mengikat kedudukan 4-4.
Drama semakin memuncak pada penghujung perlawanan apabila Sufyan Khan meletakkan Pakistan kembali di depan pada minit ke-57, namun Malaysia tidak mengalah apabila Faizal tenang menyempurnakan pukulan penalti strok seminit kemudian untuk melengkapkan hatrik dan memastikan keputusan 5-5 kekal hingga wisel penamat.
Kejayaan itu melangkah ke pentas final menjadi peluang buat Speedy Tigers membalas kekalahan 2-4 kepada Australia sebelum ini, yang menamatkan rentetan tiga kemenangan berturut-turut skuad negara dalam kejohanan berkenaan.
Malaysia kini berpeluang menamatkan kemarau kejuaraan PSAS selepas kali terakhir menjulang trofi berprestij itu pada 2022. -KOSMO! ONLINE














