Perkembangan teknologi yang berlaku dari tahun ke tahun secara umumnya diraikan bahkan ia memberi manfaat kepada masyarakat.
Bagaimanapun, setiap yang baik itu ada ‘sisi gelapnya’ dan teknologi pada masa kini menjadi medium bagi pembuli untuk melakukan perbuatan tidak bermoral tersebut.
Ini tidak bermakna buli secara fizikal sudah tidak dilakukan, namun selari dengan perkembangan teknologi, ia kini dilakukan menerusi pelbagai kaedah.
Pakar Psikologi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Madya Dr. Fauziah Mohd. Sa’ad berkata, antara kaedah buli tersebut ialah buli siber.
Katanya, buli siber adalah perbuatan menghina, mengugut, menyebarkan fitnah atau memalukan mangsa melalui media sosial seperti TikTok dan Instagram.
Selain itu, buli melalui kecerdasan buatan (AI) dan deepfake yang menghasilkan gambar, suara atau video palsu untuk memalukan dan menjatuhkan reputasi mangsa juga sudah menjadi trend.
“Buli rakaman tular pula ialah merakam kejadian penghinaan atau kekerasan dan menyebarkannya untuk mendapat perhatian.
“Sementara buli seksual digital ialah menyebarkan kandungan intim tanpa persetujuan dan membuat gangguan seksual,” katanya.
Fauziah berkata, selain itu, terdapat juga kaedah buli yang lain seperti pemulauan sosial, psikologi, berkumpulan, penyamaran identiti, buli berkaitan penampilan dan buli dalam permainan dalam talian.
“Kemajuan teknologi, khususnya AI telah membuka ruang kepada bentuk buli siber yang semakin kompleks dan membimbangkan, termasuk penyalahgunaan deepfake.
“Teknologi ini membolehkan wajah, suara atau imej seseorang dimanipulasi untuk menghasilkan kandungan palsu yang boleh memalukan, mengugut atau menjatuhkan maruah mangsa,” katanya.
Dari sudut psikologi, pelaku mungkin berasa lebih berani kerana identiti boleh disembunyikan dan mereka tidak melihat secara langsung penderitaan mangsa.
“Keadaan ini boleh mengurangkan rasa empati dan tanggungjawab terhadap perbuatan sendiri. Kesannya, mangsa berisiko mengalami tekanan emosi, kemurungan dan trauma psikologi.
“Lebih membimbangkan, kandungan palsu boleh tersebar dengan pantas dan kekal dalam talian walaupun telah dipadamkan daripada sumber asal,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan, teknologi bukan punca utama buli tetapi penyalahgunaannya menjadikan buli lebih mudah dilakukan, lebih pantas tersebar selain sukar dikawal.
“Oleh itu, pendidikan literasi digital, pembentukan empati, tanggungjawab pengguna serta tindakan tegas terhadap pelaku perlu diperkukuh, khususnya dalam kalangan remaja.
“Semakin canggih teknologi, semakin besar risiko penyalahgunaannya. Justeru, kemajuan teknologi mesti seiring dengan nilai kemanusiaan dan tanggungjawab moral penggunanya,” katanya.
Berdasarkan dapatan Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsa (PISA) 2025, bentuk buli yang paling kerap dilakukan adalah mengejek atau mempersendakan mangsa iaitu pada kadar 44 peratus.
Ia diikuti dengan penyebaran khabar angin buruk (37.6 peratus), diugut pelajar lain (12.4 peratus) serta maklumat menyakitkan hati (5 peratus).
















