ALOR GAJAH – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berdepan tindakan dihantar semula ke Penjara Kajang serta-merta sekiranya didapati melanggar mana-mana syarat tahanan rumah yang telah ditetapkan ke atasnya.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil memberi peringatan keras bahawa kelonggaran menjalani baki hukuman penjara di kediamannya itu tertakluk kepada peraturan ketat, khususnya larangan menggunakan kemudahan internet serta platform media sosial.
Tegasnya, walaupun Najib dibenarkan tinggal bersama ahli keluarga terdekat, beliau sama sekali tidak boleh ingkar terhadap larangan yang digariskan sepanjang tempoh tahanan tersebut.
“Ya, (Najib) boleh duduk bersama dengan isteri-isterinya, anak-anaknya, menantu-menantunya, cucu-cucunya, tetapi tidak boleh pakai internet.
“Kalau langgar, terus dihantar balik ke Penjara Kajang,” katanya ketika berucap pada Pesta Melaka Rumah Kita bersempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 di Taman Perdana Melaka, di sini malam tadi.
Terdahulu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat memaklumkan bahawa Najib tertakluk kepada empat kategori syarat utama yang ditetapkan Lembaga Pengampunan menerusi pengampunan bersyarat pada 18 September lalu.
Saifuddin menyatakan antara syarat tersebut merangkumi sekatan tempat tinggal dan pergaulan, kawalan pergerakan dan lawatan serta sekatan penggunaan telefon dan alat telekomunikasi.
Selain itu, beliau juga diwajibkan menghadiri program pemulihan dan intervensi sepanjang tempoh menjalani baki hukuman berkenaan.
Najib turut ditegah sama sekali daripada membuat sebarang kenyataan atau ulasan kepada pihak media, menggunakan media sosial, menghadiri majlis keramaian mahupun terlibat dalam aktiviti politik.
















