Gambar hiasan

KPM terima 670 permohonan peruntukan selenggara sekolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Sebanyak 670 permohonan peruntukan penyelenggaraan sekolah telah diterima Kementerian Pendidikan (KPM) daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) seluruh negara dalam tempoh seminggu, selepas Saluran Khas PIBG KPM dibuka pada 1 November.

Menterinya, Fadhlina Sidek menerusi hantaran di Facebook hari ini berkata sambutan yang diterima itu, menunjukkan kesungguhan PIBG untuk bersama-sama membantu meningkatkan kemudahan dan persekitaran sekolah demi keselesaan murid.

“Saya gembira melihat sambutan ini. Ia menunjukkan kesungguhan PIBG untuk bersama-sama membantu meningkatkan kemudahan dan persekitaran sekolah, demi keselesaan anak-anak kita,” katanya menerusi hantaran itu.

Beliau berkata KPM mahu melihat PIBG memainkan peranan lebih besar, sebagai rakan strategik kementerian dalam usaha menambah baik ekosistem pendidikan negara.

Fadhlina berkata ibu bapa yang menghantar anak ke sekolah setiap hari, turut mempunyai pandangan mengenai perkara yang perlu diberikan perhatian dan ditambah baik di sekolah.

Dalam pada itu, beliau berkata permohonan peruntukan penyelenggaraan sekolah menerusi saluran khas berkenaan masih dibuka sehingga 30 Nov dan PIBG yang belum mengemukakan permohonan, masih berpeluang berbuat demikian.

Sebelum ini, media melaporkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan RM2 billion kepada KPM menerusi Belanjawan 2027, bagi membaik pulih dan menyelenggara semua jenis sekolah di negara ini. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN