KEWUJUDAN semula serigala purba atau direwolf yang dipercayai pupus lebih 10,000 tahun lalu mencetuskan perhatian dunia. Baru-baru ini, sekumpulan saintis mengumumkan kejayaan menghasilkan haiwan yang mempunyai ciri genetik dan fizikal menyerupai spesies berkenaan.
Perkembangan tersebut dianggap sebagai satu pencapaian penting dalam bidang kejuruteraan genetik, sekali gus membuka perbincangan baharu mengenai kemungkinan menghidupkan semula haiwan yang telah lama lenyap itu.
Kejayaan diumumkan pada April lalu itu melibatkan syarikat bioteknologi Amerika Syarikat, Colossal Biosciences yang menghasilkan tiga anak serigala dinamakan Romulus, Remus dan Khaleesi.
Menurut Ketua Pegawai Sains Colossal, Beth Shapiro, haiwan berkenaan dihasilkan menggunakan teknologi penyuntingan gen CRISPR dengan mengubah suai 20 bahagian gen dalam 14 gen serigala kelabu moden.
Katanya, gen berkenaan diperoleh menerusi ujian asid deoksiribonukleik (DNA) daripada fosil direwolf berusia 13,000 hingga 72,000 tahun.
“Fosil direwolf banyak ditemukan di kawasan La Brea Tar Pits, California, sekali gus memberikan gambaran mengenai kehidupan pemangsa ini, sebelum dipercayai pupus sekitar 10,000 hingga 13,000 tahun lalu.
“Sel yang telah diubah suai kemudiannya digunakan dalam proses pengklonan, sebelum embrio dimasukkan ke dalam anjing domestik yang bertindak sebagai ibu tumpang,” katanya.
Direwolf atau nama saintifiknya Aenocyon dirus merupakan pemangsa purba yang pernah mendiami Amerika Utara dan sebahagian Amerika Selatan ketika zaman Pleistosen.

Haiwan itu mempunyai tubuh lebih besar dan rahang yang kuat berbanding serigala kelabu moden.
Bagaimanapun, pengumuman tersebut turut mengundang perdebatan dalam kalangan saintis antarabangsa mengenai ketepatan dakwaan direwolf berjaya dihidupkan semula.
Sebahagian pakar berpendapat, haiwan berkenaan sebenarnya merupakan serigala kelabu yang telah diubah suai secara genetik untuk memiliki ciri fizikal menyerupai direwolf. Ia bukannya spesies purba yang dikembalikan sepenuhnya.
Ini kerana, perbezaan genetik antara kedua-dua spesies itu melibatkan ribuan perubahan evolusi yang tidak dapat dipulihkan melalui penyuntingan sebilangan kecil gen.
Menurut laporan National Geographic, persoalan mengenai tingkah laku semula jadi haiwan itu juga menjadi satu cabaran.
“Hal ini kerana ciri fizikal semata-mata tidak mencukupi untuk membuktikan bahawa sesuatu spesies telah berjaya dihidupkan semula.
“Malah, haiwan berkenaan dibesarkan dalam kawasan pemeliharaan terkawal, dan bukannya habitat semula jadi seperti yang pernah didiami spesies terdahulu” ujar laporan itu.
Di sebalik kontroversi tersebut, teknologi digunakan dalam eksperimen berkenaan berpotensi memberikan manfaat lebih besar kepada usaha pemuliharaan hidupan liar, khususnya spesies terancam yang mengalami kemerosotan populasi.
Penyelidikan sama turut membuka peluang kepada pembangunan teknologi pengklonan dan penyuntingan gen untuk membantu meningkatkan daya tahan populasi haiwan yang semakin berkurangan.
Walaupun begitu, usaha menghidupkan semula haiwan pupus masih berdepan persoalan etika, keselamatan ekosistem dan tanggungjawab manusia terhadap biodiversiti.
Kejayaan menghasilkan haiwan menyerupai spesies purba tidak semestinya bermakna hidupan pada zaman dahulu boleh dikembalikan.
Justeru, kemunculan semula direwolf bukan sekadar pencapaian teknologi, sebaliknya menjadi peringatan bahawa kemajuan sains perlu diseimbangkan dengan pemeliharaan alam semula jadi.
















