fbpx
Gambar hiasan

Buang sampah: 2,000 orang telah jalani khidmat masyarakat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Lebih 6,000 tapak pembuangan sampah haram berjaya ditutup di seluruh negara dalam tempoh tiga tahun lepas, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 3,600 tapak ditutup oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) pada tahun lepas, susulan usaha penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan pembuangan sampah secara haram.

Nga berkata SWCorp turut diperkasakan menerusi perolehan lebih 100 motosikal pada tahun lepas bagi memudahkan operasi penguatkuasaan, khususnya di kawasan yang dijadikan lokasi pembuangan sampah haram.

“Pengurusan sisa pepejal merupakan satu agenda utama untuk kita pastikan negara kita sentiasa bersih supaya rakyat sejahtera. Adalah sangat penting kita nak pastikan persekitaran, alam sekitar negara kita dibela, dipertahankan,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) mengenai tindakan kementerian menangani kegiatan pembuangan sampah haram, termasuk di kawasan terpencil dan tanah persendirian, serta perancangan menjadikan sisa sebagai sumber ekonomi.

Nga berkata, pihak yang terlibat dalam kegiatan sindiket pembuangan sampah haram boleh dikenakan hukuman penjara lima tahun dan denda RM100,000 sekiranya disabitkan kesalahan di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 [Akta 672].

Beliau berkata usaha penguatkuasaan turut dipergiatkan menerusi pelaksanaan hukuman khidmat masyarakat dengan lebih 17,000 kompaun dikeluarkan setakat pagi ini, manakala lebih 2,000 individu telah diperintahkan mahkamah menjalani hukuman berkenaan.– BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN