fbpx
ANGGOTA AADK melakukan ujian saringan air kencing kepada salah seorang individu yang ditahan dalam satu sekatan jalan raya di Kubang Pasu, Kedah baru-baru ini.

Ramai bawa kenderaan di Selangor ‘lalok’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR SETAR – Kira-kira satu daripada setiap lima individu yang menjalani saringan awal Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam operasi sekatan jalan raya dari 1 Januari hingga 18 September lalu didapati positif dadah.

Ketua Pengarah AADK, Datuk Ruslin Jusoh berkata, dalam tempoh itu, pihaknya menjalankan sebanyak 258 operasi sekatan jalan raya bersama Jabatan Pe­ngangkutan Jalan, Jabatan Siasatan, Penguatkuasaan Trafik dan Polis Diraja Malaysia di seluruh negara.

“Ia melibatkan sebanyak 3,165 saringan awal dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 643 sari­ngan atau 20.3 peratus direkodkan positif.

“Statistik ini menunjukkan bahawa kira-kira satu daripada setiap lima individu yang menjalani saringan awal dalam operasi berkenaan dikesan positif, sekali gus menunjukkan keperluan untuk meneruskan operasi pengesanan dan intervensi secara berterusan dan bersasar,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Kata beliau, berdasarkan pe­cahan mengikut negeri, Selangor merekodkan seramai 285 individu positif daripada 343 sari­ngan awal yang dijalankan.

SERAMAI 643 individu didapati positif dadah selepas menjalani ujian air kencing secara rambang yang dilakukan AADK di sekatan jalan raya dari Januari hingga September lalu.

“Johor pula merekodkan 76 individu positif daripada 624 sari­ngan, Perlis 46 positif daripada 76 saringan dan Kelantan sebanyak 44 positif daripada 236 saringan.

“Pahang merekodkan 42 individu positif daripada 238 ­saringan, manakala Negeri Sembilan sebanyak 41 positif daripada 379 saringan, seterusnya di Sabah, seramai 29 individu ­didapati positif daripada 231 saringan dan Kedah seramai 28 positif daripada 68 saringan,” ujarnya.

Menurutnya, AADK akan te­rus memperkukuhkan kerjasama dengan agensi berkaitan bagi melaksanakan saringan, pengesanan dan tindakan susulan yang bersesuaian, khususnya dalam menangani risiko penyalahgunaan bahan terlarang terhadap keselamatan pengguna jalan raya.

Dalam perkembangan ber­kaitan, kata Ruslin, secara keseluruhannya, data penyalahgunaan dadah dan bahan sehingga Jun lalu menunjukkan dadah jenis Amphetamine-Type Stimulants (ATS) menjadi trend masa kini.

“ATS merekodkan seramai 96,447 individu bagi tempoh sehingga Jun lalu, berbanding 97,329 individu bagi tempoh yang sama pada tahun 2025.

“Ini menunjukkan penurunan sebanyak 882 individu atau 0.9 peratus. Walaupun berlaku pe­nurunan kecil berbanding tempoh sama pada tahun sebelum­nya, ATS kekal sebagai kategori dadah yang perlu diberikan perhatian berterusan dalam usaha pencegahan dan pengawalan penyalahgunaan dadah,” tambahnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN