Wan Ahmad Dahlan (kiri) dan Ab. Rauf

Wan Ahmad Dahlan, Ab. Rauf terima PHD

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BANGI – Lebih 31 tahun menabur bakti dalam perkhidmatan awam, Tan Sri Dr. Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz mahu meninggalkan satu lagi sumbangan kepada negara menerusi penyelidikan akademik yang menekankan kepentingan nilai sebagai tunjang reformasi perkhidmatan awam.

Bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam yang bersara dua hari lalu itu berkata, penyelidikan ijazah Doktor Falsafah (PhD) yang dihasilkan bukan sekadar memenuhi tuntutan akademik, tetapi bertujuan memperkukuh budaya kerja penjawat awam supaya penyampaian perkhidmatan kerajaan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.

Beliau berkata, sepanjang lebih tiga dekad dalam perkhidmatan awam, pelbagai dasar dan struktur pentadbiran telah dibangunkan, namun keberkesanannya tetap bergantung pada nilai yang dihayati oleh setiap penjawat awam.

“Walaupun kita ada satu instrumen ataupun struktur yang sudah baik, tanpa nilai dalam diri penjawat awam yang menggerakkan setiap perkhidmatan diberi, kita tidak akan dapat mencapai tahap terbaik dalam perkhidmatan awam.

“Inilah yang saya tinggalkan kepada penjawat awam setelah menamatkan perkhidmatan KPPA,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini hari ini.

Beliau yang menerima PhD daripada UKM berkata, penyelidikannya tentang reformasi perkhidmatan awam turut mengetengahkan nilai H.E.M.A.T (hijrah tata kelola, empati rakyat, minda pekin, apresiasi inovasi dan telus tadbiran) yang diperkenalkan sebagai usaha memperkukuh penghayatan nilai dalam kalangan penjawat awam.

Sementara itu, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh yang turut menerima ijazah Doktor Pentadbiran Perniagaan (DBA) pada majlis sama mahu hasil penyelidikannya berkaitan dengan Kampung Digital menjadi rujukan kepada pentadbiran kerajaan di seluruh negara.

Beliau berkata kajian selama lebih dua tahun setengah itu dilaksanakan bagi menangani masalah sistem alamat konvensional di kampung tradisional yang menyaksikan hingga 1,000 penduduk berkongsi satu alamat, sekali gus menjejaskan keberkesanan penyampaian maklumat dan urusan rasmi kerajaan.

Ab Rauf berkata hasil penyelidikan bersama dengan UKM itu telah diterjemahkan melalui pelaksanaan Kampung Digital di Melaka yang membolehkan rumah kampung tradisional diberi nombor dan alamat digital berserta kod respons pantas (QR). – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN