PETALING JAYA – Polis menerima satu laporan berhubung dakwaan surat peletakan jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan yang diserahkan kepada pihak Istana tanpa persetujuan beliau.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Ahmad Azwan Amin Nordin berkata, laporan itu dibuat seorang lelaki berusia 65 tahun di Balai Polis Chow Kit, di sini, kira-kira pukul 9.55 pagi tadi.
Menurutnya, pengadu membuat laporan berdasarkan maklumat yang diperoleh menerusi laporan media serta beberapa kenyataan berkaitan isu berkenaan.
“Pengadu turut meminta pihak polis meneliti kemungkinan wujud kaitan antara isu surat peletakan jawatan itu dengan dakwaan konspirasi terhadap kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan,” katanya.
Bagaimanapun, difahamkan pengadu mengakui tidak mempunyai sebarang bukti langsung bagi mengesahkan dakwaan konspirasi tersebut.
“Pengadu juga tidak mempunyai bukti yang menunjukkan pihak sama terbabit dalam kedua-dua isu berkenaan.
“Laporan polis itu dibuat bagi memohon siasatan lanjut berdasarkan syak wasangka pengadu susulan maklumat yang diperolehnya,” ujarnya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Ismail Lasim menegaskan beliau tidak pernah mengemukakan atau memberikan persetujuan berhubung peletakan jawatannya yang diserahkan kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Perkara itu turut disahkan Istana Negeri Sembilan menerusi kenyataan Pengelola Bijaya Diraja selepas Ismail menghadap Tuanku Muhriz di Istana Hinggap, Seremban, semalam.
Pada 16 November lalu, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir mengumumkan bahawa Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menerima salinan surat peletakan jawatan Ismail.
Bagaimanapun, pihak Istana pada keesokan harinya memaklumkan ketulenan surat yang dihantar ke Istana Hinggap pada pukul 12.16 tengah malam itu masih belum disahkan.
Dalam perkembangan terbaharu, Ismail diminta membuktikan beliau masih mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) selain mengemukakan senarai barisan Exco untuk pertimbangan Tuanku Muhriz. – KOSMO! ONLINE














