MELAKA – Dari dunia korporat ke arena politik, Datuk Seri Dr Ab Rauf Yusoh yang berpengalaman luas dalam bidang perniagaan sekali lagi diberi mandat menerajui pentadbiran negeri untuk penggal kedua apabila dilantik sebagai Ketua Menteri Melaka ke-13.
Dilahirkan pada 20 Sept 1961, Ab Rauf yang berasal dari Masjid Tanah, berkelulusan Institut Kemahiran MARA (IKM) pada 1978 dan kemudian meluaskan pengetahuan dalam bidang perniagaan dengan memperoleh Sarjana Pentadbiran Perniagaan daripada University of Gloucestershire, United Kingdom pada 2023.
Ab Rauf, 65, juga mengikuti program pascasiswazah dalam Pentadbiran Perniagaan di Kuala Lumpur International Education Consortium serta memperoleh Diploma Pascasiswazah Tahap 7 dalam bidang sama daripada London Examinations Board pada 2023.
Terbaharu, beliau dianugerahkan Doktor Pentadbiran Perniagaan (DBA) daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui laluan APEL.Q di UKM Graduate School of Business, yang bermula pada 2024.
Sebelum menceburi politik secara aktif, Ab Rauf membina kerjaya sebagai usahawan dan teknokrat sejak berusia 24 tahun, dengan pencapaian awal beliau ialah mengasaskan Asia Lab Malaysia Sdn Bhd pada 1985.
Pengalaman korporatnya turut merangkumi penglibatan dalam bidang teknologi maklumat di Permodalan Nasional Berhad (PNB) dari 1993 hingga 1997, selain pernah menganggotai lembaga pengarah Europlus Berhad dan Talam Corporation Berhad antara 1998 hingga 2007.
Penglibatan Ab Rauf dalam UMNO pula bermula pada peringkat akar umbi dan pernah menjadi Ketua UMNO Cawangan Dataran Merdeka dari 1995 hingga 2013, sebelum memegang beberapa jawatan termasuk Penolong Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia pada 2003 hingga 2004 dan Setiausaha Kerja UMNO Malaysia dari 2009 hingga 2018.
Pada 2013, beliau dilantik sebagai Ketua UMNO Bahagian Masjid Tanah, jawatan yang disandang hingga kini, selain Pengerusi Badan Perhubungan UMNO dan Barisan Nasional (BN) Melaka sejak 2018.
Pengalaman dalam kepimpinan parti itu turut membuka ruang kepada beliau untuk memainkan peranan lebih besar dalam pentadbiran negeri apabila dilantik sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka bagi tempoh 2020 hingga 2021.
Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang diadakan pada 2021 menyaksikan Ab Rauf memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Datuk Mas Ermieyati Samsudin dan calon Pakatan Harapan (PH) Zainal Hassan.
Pada 31 Mac 2023, Ab Rauf mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka ke-13 di hadapan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam, bagi menggantikan Datuk Seri Sulaiman Md Ali yang meletakkan jawatan selepas menerajui kerajaan negeri selama dua penggal.
Pada PRN Melaka ke-16 semalam, Ab Rauf sekali lagi berjaya mempertahankan kerusi Tanjung Bidara dengan majoriti 8,615 undi menewaskan calon PH Yunazri Mustamiri dalam saingan satu lawan satu, manakala gabungan BN–PN memperoleh majoriti lebih dua pertiga untuk membentuk kerajaan negeri. – BERNAMA
















