KUALA LUMPUR – Ada yang bekerja keras membantu masyarakat tanpa pernah mengharapkan pujian, malah sumbangan mereka mungkin tidak diketahui ramai meskipun membawa perubahan besar kepada kehidupan orang lain.
Namun, di sebalik usaha yang mungkin kelihatan kecil, tersimpan kisah ketabahan, pengorbanan dan keprihatinan yang wajar diberikan perhatian.
Antaranya cerita seorang pakar bedah saraf yang berusaha mengubah kehidupan keluarganya menerusi pendidikan, individu yang membimbing golongan neurodivergen, serta jurulatih bola sepak yang membantu membangunkan bakat muda di peringkat akar umbi.
Kisah mereka merupakan sebahagian daripada 65 cerita inspirasi rakyat Malaysia yang diketengahkan menerusi kempen Sebut Namamu bersempena ulang tahun ke-65 KHIND.
Kempen yang dilancarkan pada Ogos lalu itu memberi ruang kepada individu daripada pelbagai latar belakang untuk berkongsi pengalaman serta sumbangan mereka sebagai Juara Setiap Hari.
Pengarah Eksekutif KHIND Group, Cheng Duo-Ren berkata, setiap individu mempunyai peranan tersendiri dalam membentuk komuniti yang lebih baik, termasuk mereka yang sumbangannya tidak selalu mendapat perhatian.
“Melalui kempen Sebut Namamu, kami berharap dapat mengajak masyarakat melihat kejayaan dan kemajuan dari sudut yang lebih dekat dengan kehidupan seharian.
“Ia merupakan peluang untuk kita menghargai peranan setiap individu dalam membentuk komuniti yang lebih prihatin, saling menyokong dan berdaya maju,” katanya.
Antara individu yang diketengahkan ialah Dr. Moventhiran Ramakrishnan yang berjaya mengubah taraf kehidupan keluarganya sehingga bergelar pakar bedah saraf.
Turut mencuri perhatian ialah Juairiah daripada GOLD (Generating Opportunities for Learning Disabilities) yang meluangkan masa membantu golongan neurodivergen menerusi bimbingan serta aktiviti pembelajaran.
Selain itu, Rusydi Rosli menggunakan media sosial untuk meningkatkan kesedaran mengenai kemudahan akses surau awam, manakala Shazwan Wong Abdullah menggalas tanggungjawab sebagai jurulatih bola sepak akar umbi.
Kisah Uncle Leslie turut menarik apabila bekas pengurus jualan itu menyertai syarikat kecantikan tempatan, Dododots, sebagai pelatih senior di bawah bimbingan generasi Z.
Biarpun berbeza latar belakang, mereka mempunyai persamaan iaitu kesediaan untuk terus berusaha, membantu orang lain dan memberikan sesuatu yang bermakna kepada masyarakat.
Setakat ini, sebanyak 41 kisah telah diterbitkan daripada sasaran 65 individu, manakala kempen itu meraih lebih sejuta tontonan di platform media sosial.
Lebih 100 penyertaan diterima daripada orang ramai yang mahu berkongsi kisah sendiri atau mencalonkan individu lain yang dianggap layak mendapat pengiktirafan. Pencalonan masih dibuka menerusi laman web KHIND sehingga 30 November ini.
Lima pemenang akan dipilih pada Disember selepas kesemua 65 kisah diperkenalkan menerusi proses pengundian dan pengadilan, dengan setiap pemenang menerima produk KHIND bernilai RM6,500 serta dilantik sebagai duta bagi 2027. – KOSMO! ONLINE
















