BUKIT MERTAJAM – Kejadian lelaki maut ditembak rakan sekerja di sebuah depoh simpanan diesel industri di Mukim 14, Bukit Minyak, di sini, semalam dipercayai bermula dengan pertengkaran antara mangsa dan suspek.
Rakan sekerja yang enggan namanya disiarkan, berkata suspek yang berusia lingkungan 40-an ada memberitahunya bahawa dia bergaduh dengan mangsa, 41.
“Saya suruh dia hentikan dan pulang dengan motosikalnya.
“Saya beri amaran kepadanya masalah akan timbul jika kedua-dua mereka terus berada bersama,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Dalam kejadian 4.30 petang semalam, mangsa yang hanya dikenali sebagai Ah Chuan, meninggal dunia selepas dipercayai ditembak tiga kali di bahagian badan dan kaki.
Suspek melarikan diri dari tempat kejadian, sejurus melepaskan tembakan.
Difahamkan, mangsa bekerja di premis yang merangkumi depoh simpanan, kontena dan sebuah kantin itu selama hampir sedekad, sementara suspek yang juga berusia 40-an pula bekerja di situ lebih setahun.
Menurut saksi itu lagi, selepas dia berbual dengan suspek, lelaki itu terus pulang ke rumah.
“Saya terkejut apabila rakan menghubungi saya kira-kira 5 petang memaklumkan mangsa meninggal dunia,” katanya, sambil menambah dia tidak pasti punca sebenar pertengkaran berkenaan.
Bagaimanapun, dia berkata, ini kali pertama mereka bergaduh.
“Saya juga tidak tahu apa masalah antara mereka,” tambahnya.
Saksi itu memaklumkan mangsa biasanya tinggal di premis berkenaan, manakala suspek pulang ke rumah selepas habis bekerja. – KOSMO! ONLINE
















