SELEPAS lima tahun aktif menerbitkan video muzik dan kandungan komersial, penyanyi dan pelakon Ayda Jebat kini mengembangkan sayap dalam bidang penerbitan drama serta telefilem untuk siaran televisyen.
Ayda atau nama sebenarnya Nur Suhada Jebat, 34, berkata, syarikat penerbitannya, AJNM Entertainment yang ditubuhkan bersama suaminya, Nabil Mahir, mula menyahut cabaran menghasilkan karya televisyen selepas melihat potensi besar dalam bidang berkenaan.
Menurutnya, selepas sekian lama memberi tumpuan kepada penerbitan video muzik, iklan dan jingle untuk pelbagai jenama, mereka kini bersedia meneroka cabang baharu dalam industri kreatif.
“Selama ini kami lebih banyak menghasilkan video muzik, iklan dan jingle untuk pelbagai jenama terkenal. Namun, kali ini kami mahu mencuba sesuatu yang berbeza dengan meneroka penerbitan untuk televisyen.
“Alhamdulillah, projek pertama kami sudah pun ditayangkan menerusi RTM. Insya-Allah, bulan depan kami akan memulakan penggambaran sebuah drama dan sebuah lagi telefilem,” katany pada majlis perasmian cawangan baharu jenama tempatan, Bayu Somerset di AEON Bandaraya Melaka, baru-baru ini.
Berkongsi mengenai projek drama terbaharu terbitan syarikatnya, Ayda memaklumkan penggambaran dijadualkan bermula bulan depan dengan menampilkan beberapa pelakon termasuk model dan pelakon, Amber Chia.
Dalam pada itu, pelakon drama Mandul Bukan Pilihan tersebut tidak menafikan penerbit dan pelakon berpengalaman, Sheila Rusly menjadi antara figura yang banyak memberi inspirasi kepadanya untuk mendalami selok-belok dunia penerbitan.
Jelasnya, dia banyak mengambil kesempatan memerhatikan cara Sheila mengendalikan produksi, khususnya dalam aspek pengurusan kewangan, penelitian skrip dan pemilihan jalan cerita.
“Saya sangat mengaguminya. Saya suka semua cerita yang dihasilkan Sheila bersama suaminya, Jinggo kerana jalan ceritanya berkualiti selain mereka sangat teliti dalam menguruskan bajet produksi.
“Dulu beliau selalu telefon saya dan minta datang ke rumah. Ketika itulah saya dapat melihat sendiri caranya meneliti serta mengkaji skrip. Secara tidak langsung, banyak perkara saya belajar daripadanya,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














