fbpx
RAMAI rakyat Malaysia pilih teroka bandar kecil, pekan warisan dan destinasi kurang dikenali berbanding destinasi utama.

Trend ‘slow travel’ demi kenangan terindah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Dalam dunia yang semakin pantas bergerak, cara orang mengembara juga sedang berubah.

Jika suatu dahulu, kejayaan percutian sering diukur melalui jumlah destinasi yang dilawati, kini semakin ramai pelancong memilih untuk bergerak dengan lebih perlahan dan menghayati pengalaman perjalanan.

Fenomena yang dikenali sebagai ‘slow travel’ semakin mendapat perhatian dalam kalangan pelancong moden.

Penulis juga tidak terkecuali, apabila suatu ketika dahulu cenderung mengembara secara terburu-buru dan mengejar sebanyak mungkin destinasi.

Begitu pun, penulis kini mula sedar bahawa pengalaman sepanjang perjalanan lebih bermakna berbanding destinasi itu sendiri.

Daripada mengejar jadual yang padat dan senarai lokasi popular untuk dimuat naik ke media sosial, ramai kini lebih menghargai pengalaman authentic dan interaksi dengan masyarakat setempat.

Perubahan ini dapat dilihat dalam landskap pelancongan domestik.

Semakin ramai rakyat memilih untuk meneroka bandar kecil, pekan warisan dan destinasi yang kurang dikenali, berbanding tertumpu kepada destinasi utama.

Bagi pencipta kandungan pelancongan, Fikri Zamri, pengalaman mengembara ke seluruh negara telah mengubah cara dia melihat Malaysia.

“Saya tidak lagi melihat sesuatu tempat sekadar sebagai destinasi, tetapi sebagai kisah-kisah yang bernyawa,” katanya.

Menurut Fikri, antara pengalaman paling berkesan bukanlah semata-mata destinasi yang dikunjungi, tetapi detik-detik sepanjang perjalanan itu sendiri.

Fikri masih mengingati pengalaman mendaki dalam hujan menuju Air Terjun Susung di Sarawak, menaiki bot dalam cuaca buruk dan bermalam di rumah kampung yang sederhana.

“Bagi saya, perjalanan itu sendiri sama pentingnya dengan destinasi. Di situlah terletaknya warna, makna dan emosi yang membentuk pengalaman,” katanya.

Pandangan tersebut mencerminkan kecenderungan baharu dalam kalangan pelancong yang semakin menghargai perjalanan sebagai sebahagian daripada pengalaman, bukannya sekadar tempat untuk bercuti.

Justeru, pengangkutan seperti kereta api kembali mendapat perhatian kerana menawarkan pengalaman lebih santai dan memberi peluang kepada penumpang menikmati pemandangan serta suasana sepanjang perjalanan.

Dalam konteks Malaysia, perkembangan ini dijangka mendapat dorongan baharu menerusi Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dijangka beroperasi pada 2027.

Dengan hubungan yang lebih baik antara Pantai Timur dan Pantai Barat, lebih banyak destinasi berpotensi menjadi pilihan percutian domestik.

Bagi Fikri, kemudahan tersebut mampu membuka peluang kepada lebih ramai rakyat Malaysia untuk meneroka kawasan yang selama ini dianggap jauh.

“Ramai terlalu menumpukan kepada kelajuan, sedangkan perjalanan itu sendiri mampu membentuk keseluruhan pengalaman,” katanya.

Dalam era yang serba pantas ini, mungkin nilai sebenar sesebuah perjalanan bukan lagi terletak pada sejauh mana seseorang pergi, tetapi sejauh mana pengalaman itu mampu mengubah perspektif mereka terhadap tempat, masyarakat dan negara yang diterokai.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN