DENGAN pendapatan sekitar RM3,000 sebulan, hasrat memiliki rumah, membesarkan keluarga dan membina simpanan kukuh semakin mencabar. - GAMBAR HIASAN

Zaman mahal, golongan muda terhimpit?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GENERASI muda Malaysia hari ini berdepan cabaran ekonomi lebih besar berbanding generasi terdahulu meskipun memiliki tahap pendidikan dan akses teknologi lebih baik.

Peningkatan kos sara hidup, harga rumah yang mahal serta pertumbuhan gaji yang perlahan menyebabkan golongan muda semakin sukar mencapai kestabilan kewangan.

Menurut Bank Negara, harga barangan pengguna meningkat sebanyak 9.3 peratus antara 2019 hingga 2024, sedangkan gaji nominal setiap pekerja hanya naik 7.2 peratus.

Perbezaan itu menunjukkan kuasa beli rakyat semakin tertekan, sekali gus menyukarkan golongan muda memenuhi keperluan kehidupan.

Dengan pendapatan sekitar RM3,000 sebulan, hasrat memiliki rumah berharga RM400,000 hingga RM500,000, membesarkan keluarga dan membina simpanan kukuh semakin mencabar.

Penganalisis ekonomi, Prof. Datuk Dr Muhamad Rosli Selamat berkata, persoalan utama bukan sama ada Malaysia lebih kaya berbanding dahulu, sebaliknya sama ada golongan muda hari ini menikmati peluang mobiliti ekonomi untuk membina kehidupan lebih baik seperti generasi terdahulu.

Katanya, Malaysia pernah melalui perkembangan perindustrian pesat sekitar 1970-an hingga 1990-an yang membuka pelbagai peluang ekonomi kepada rakyat.

“Pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru turut memperluas penyertaan Bumiputera dalam sektor perniagaan, perindustrian dan pemilikan korporat.

“Institusi seperti Mara dan Permodalan Nasional Berhad memainkan peranan menyediakan pendidikan, pembiayaan serta peluang pelaburan.

“Pembangunan syarikat strategik seperti Petronas dan Proton serta projek infrastruktur berskala besar turut memperkukuh asas ekonomi negara,” katanya.

Bagaimanapun, cabaran Malaysia ketika ini bukan sekadar menarik pelaburan asing, tetapi memastikan peluang ekonomi dapat dinikmati rakyat tempatan.

Beliau berkata, hanya 26 peratus daripada pekerjaan baharu pada 2025 merupakan pekerjaan berkemahiran tinggi berdasarkan laporan BNM.

“Keadaan itu menunjukkan keperluan mewujudkan lebih banyak pekerjaan berkualiti yang menawarkan pendapatan setimpal dengan kos kehidupan.

“Pada masa sama, usahawan Bumiputera muda masih berdepan kekangan mendapatkan modal, teknologi dan akses pasaran untuk mengembangkan perniagaan,” ujarnya.

Justeru itu, negara perlu memperkukuh perusahaan domestik supaya mampu berkembang menjadi syarikat berdaya saing di peringkat global.

Sektor semikonduktor, pembuatan termaju, tenaga boleh baharu dan kecerdasan buatan (AI) antara bidang yang berpotensi membuka peluang pertumbuhan ekonomi baharu.

Jelasnya, dasar ekonomi negara perlu memberi tumpuan kepada pembangunan perniagaan tempatan, pewujudan pekerjaan berkemahiran tinggi serta peningkatan gaji sebenar rakyat.

Katanya, kejayaan pembangunan ekonomi negara tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah pelaburan asing semata-mata, sebaliknya keupayaan melahirkan syarikat tempatan yang mampu bersaing di peringkat global dan memastikan generasi akan datang menikmati kehidupan lebih baik berbanding ibu bapa mereka. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN