Antara warga asing yang ditahan dalam operasi bersepadu yang dijalankan serentak di 34 lokasi di seluruh negara baru-baru ini. FOTO IHSAN JIM

34 kilang diserbu seluruh negara, 519 warga asing ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Seramai 519 warga asing ditahan Jabatan Imigresen (JIM) dalam operasi bersepadu yang dijalankan secara serentak di 34 lokasi kilang di seluruh negara bermula 18 hingga 20 November lalu.

Operasi berskala besar itu menyaksikan seramai 1,702 individu diperiksa dengan kekuatan 569 pegawai imigresen yang digerakkan bagi mengesan pelbagai kesalahan berkaitan undang-undang imigresen.

JIM dalam kenyataan berkata, operasi tersebut dilaksanakan berdasarkan aduan awam, maklumat risikan serta pemantauan terhadap premis perkilangan yang dikenal pasti mempunyai kehadiran warga asing yang tinggi.

“Kesemua 519 warga asing yang ditahan berusia antara 22 hingga 56 tahun membabitkan warganegara Bangladesh, Myanmar, Nepal, Indonesia, India, China, Taiwan dan beberapa negara lain,” katanya hari ini.

Menurut JIM, daripada jumlah itu, seramai 71 warga asing ditahan dalam serbuan di sebuah kilang memproses paku di Meru, di sini, semalam.

Katanya, operasi yang bermula pukul 6 petang itu dijalankan pasukan penguatkuasaan Ibu Pejabat JIM Putrajaya dengan seramai 131 individu diperiksa.

“Kesemua warga asing yang ditahan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.

Dalam pada itu, sebanyak 42 borang saman kepada saksi turut dikeluarkan kepada warga tempatan di seluruh negara bagi membantu siasatan.

“Ia termasuk mengenal pasti pihak bertanggungjawab terhadap penggajian dan pengurusan pekerja asing,” jelasnya.

JIM menegaskan, tindakan penguatkuasaan bukan sahaja tertumpu kepada warga asing yang melanggar undang-undang, malah turut menyasarkan majikan dan pengendali premis yang menggaji atau melindungi pendatang asing tanpa izin.

“Pendekatan penguatkuasaan berasaskan risikan akan terus diperkukuh bagi memastikan tindakan lebih berfokus dan menyeluruh terhadap pihak yang menjadi punca ketidakpatuhan undang-undang imigresen,” katanya.

Operasi terbabit dijalankan dengan kerjasama Jabatan Tenaga Kerja, Jabatan Pendaftaran Negara, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia serta pihak berkuasa tempatan.

Turut hadir dalam operasi di Meru itu, Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Operasi), Datuk Lokman Effendi Ramli dan Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JIM, Datuk Basri Othman. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN