ARRIBAS berjaya meledak dua gol ketika membantu JDT mencipta kebangkitan untuk mencatat kemenangan ke atas Ha Noi sekali gus selesa mengungguli saingan Kumpulan B. - FB JOHOR SOUTHERN TIGER

JDT bangkit benam Ha Noi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KETINGGALAN 0-1 seawal minit ketiga langsung tidak menjadi masalah buat Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila bangkit mencatat kemenangan 3-1 ke atas kelab Vietnam, Cong An Ha Noi pada aksi Kumpulan B Piala Shopee malam kelmarin.

Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Hang Day, Hanoi itu, pasukan tuan rumah meraih jaringan awal selepas pemain pertahanan JDT, Nene tidak sengaja menolak masuk bola ke gawang sendiri.

Bagaimanapun, Harimau Selatan yang menampilkan aksi lebih baik di separuh masa kedua meledak tiga gol menerusi dua jaringan pemain gantian, Oscar Arribas serta satu gol Marcos Guilherme.

Arribas yang dimasukkan pada awal babak kedua perlawanan menyuarakan rasa gembira kerana dapat membantu pasukan mencatat kemenangan, sekali gus membolehkan JDT mengungguli saingan Kumpulan B dengan enam mata.

“Kami sangat gembira kerana berjaya mendapatkan keputusan yang diharapkan dan sekarang kami mahu mengalih perhatian kepada aksi ACL (Liga Juara-Juara Asia). Kemenangan ini adalah untuk semua penyokong JDT.

“Dalam bola sepak, kadang-kadang anda ketinggalan dan adakalanya mendahului. Apa yang penting adalah kami sebagai satu pasukan sentiasa mempamerkan aksi terbaik bagi mendapatkan kemenangan,” katanya.

Mengulas mengenai kebangkitan ditunjukkan JDT di separuh masa kedua, Arribas menjelaskan, dia dan rakan sepasukan serta jurulatih, Xisco Munoz membuat percaturan terbaik ketika waktu rehat.

“Kami hanya melakukan perkara yang sering dibuat JDT. Dalam bilik persalinan, kami hanya cuba untuk mengubah situasi separuh masa pertama dan inilah bola sepak, apa sahaja boleh berlaku,” ujarnya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN