SINDIKET keldai akaun turut menyamar dengan menawarkan kerja sambilan selain skim pinjaman pendidikan semata-mata untuk mendapatkan maklumat perbankan mangsa. – GAMBAR HIASAN

Pelajar miskin sasaran jadi keldai akaun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Sindiket penipuan dalam talian dikesan semakin licik apabila menjadikan golongan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) daripada keluarga kurang berkemampuan sebagai sasaran baharu keldai akaun dengan tawaran upah serendah RM40.

Kegiatan itu dilaporkan semakin berleluasa di beberapa buah negeri khususnya melibatkan penuntut IPT di sekitar Lembah Klang, Selangor serta Pulau Pinang.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, sindiket terbabit sengaja memburu pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan yang terdesak memerlukan wang perbelanjaan sebelum memperdaya mereka menerusi pelbagai muslihat.

Menurutnya, taktik terbaharu yang digunakan adalah dengan mengarahkan mangsa membuka akaun bank digital secara dalam talian tanpa perlu hadir ke mana-mana cawangan fizikal.

“Proses pendaftaran akaun bank digital yang terlalu mudah, iaitu hanya memerlukan gambar swafoto dan salinan kad pengenalan, menyebabkan pelajar IPT mudah terpedaya
tanpa ­menyedari risiko akaun tersebut disalahgunakan pihak ketiga.

“Ini merupakan taktik sindiket keldai akaun alaf baharu. Jika sebelum ini kita sering mende­ngar kes menyewakan kad bank fizikal, kini modus operandinya sudah berubah sepenuhnya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Hishamuddin menjelaskan bahawa sindiket berkenaan turut menyamar tujuan sebenar mereka di sebalik tawaran kerja sambilan, penyertaan kaji selidik berbayar serta skim pinjaman pendidikan bagi mendapatkan maklumat perbankan mangsa.

“Bagi helah tawaran kerja sambilan, pelajar diminta membuka akaun bank kononnya sebagai syarat wajib sebelum diterima bekerja, namun mereka kemudiannya dimaklumkan permohonan tersebut gagal.

“Scammer kata tak lulus. Pelajar itu pula terima bulat-bulat keputusan tersebut tanpa ­mengetahui perkara sebenar. Selepas tiga hingga enam bulan, baru mangsa tahu.

“Ada juga mangsa menyangka mereka hanya diminta menyertai kaji selidik, sedangkan maklumat peribadi yang diberi digunakan untuk membuka akaun bank tanpa pengetahuan mereka,” dedahnya.

SINDIKET keldai akaun menawarkan upah serendah RM40. – GAMBAR HIASAN

Hishamuddin berkata, sindiket turut memperdaya mangsa­ menerusi tawaran pinjaman pendidikan dengan mereka diminta memberikan nama pengguna dan kata laluan perbankan.

“Sindiket meminta maklumat berkenaan dengan alasan wang pinjaman akan dimasukkan ke dalam akaun tersebut. Disebabkan terdesak perlukan wang, pelajar terlibat menyerahkan maklumat berkenaan,” katanya.

Menurutnya, mangsa lazimnya hanya menyedari akaun mereka disalahgunakan apabila ‘dicari’ pegawai penyiasat polis atau mendapati akaun bank dibekukan selepas dikaitkan dengan laporan penipuan.

“Keadaan itu boleh menyebabkan mangsa berdepan beberapa siasatan berasingan, selain menanggung beban kewangan dan berisiko mempunyai rekod jenayah,” tambahnya.

Sebelum ini, media melaporkan beberapa kes melibatkan pelajar IPT termasuk seorang pelajar undang-undang sebuah kolej swasta yang didenda ­sebanyak RM500 selepas dia mengaku bersalah membenarkan akaun banknya digunakan sebagai akaun keldai bagi transaksi haram.

Pada April tahun lalu, seorang pelajar lelaki dari sebuah kolej turut dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Muar atas tuduhan menjadi keldai akaun kepada sindiket penipuan dalam talian atau ‘scammer’.

Terdahulu pada Jun lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mendedahkan trend pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang membenarkan akaun bank peribadi mereka digunakan oleh sindiket penipuan dalam talian semakin membimbangkan.

Saifuddin berkata, sindiket berkenaan dikesan menawarkan bayaran antara RM1,000 hingga RM2,000 sebulan kepada pelajar sebagai ganjaran untuk menggunakan akaun mereka bagi tujuan pemindahan wang haram.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN